PESHAWAR, Pakistan – Sekurang-kurangnya 59 orang terbunuh dan 157 cedera dalam letupan sebuah masjid di Peshawar, Pakistan tengahari semalam.
Pesuruhjaya Peshawar, Riaz Mehsood berkata, operasi menyelamat telah dilakukan di dalam masjid yang mana terdapat mangsa tertimbus dalam runtuhan.
“Darurat dilaksanakan di hospital di bandar dan mereka yang cedera disediakan kemudahan rawatan perubatan,” kata pegawai kanan itu.
Bercakap kepada media, Pegawai Polis Peshawar, Muhammad Ijaz Khan berkata, bangunan masjid itu runtuh akibat letupan tersebut.
Beliau berkata, dewan utama masjid, yang boleh memuatkan antara 250 hingga 300 orang, runtuh namun bahagian lain bangunan masih kukuh.
Ditanya mengenai punca letupan itu, pegawai tersebut berkata: “Bau letupan telah dikesan tetapi adalah terlalu awal untuk menyatakan sesuatu,”.
Khan berkata, antara 300 hingga 400 anggota polis berada di lokasi kejadian ketika letupan berlaku.
“Kelihatan terdapat kekeliruan berlaku,” ujarnya.
Beliau menambah, mayat dan mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital.
Pada 22 Januari lalu sebuah kenderaan polis nyaris terkena letupan bom di Badaber, Peshawar.
Sehari sebelum itu, seorang anggota polis terbunuh dan dua lagi cedera apabila penyerang yang tidak dikenali menyerang pos polis di Charsadda. – Agensi