Dua lelaki warga asing dibawa ke mahkamah bagi menghadapi dakwaan kes bunuh seorang warga asing yang mayat ditemui dalam keadaan cedera di kepala dengan kaki dan tangan terikat di tepi Jalan Rawang-Bestari Jaya pada akhir Disember lalu di Mahkamah Selayang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 31 JANUARI 2023

KUALA LUMPUR – Seorang warga Bangladesh dan seorang warga tempatan didakwa di Mahkamah Majistret Selayang, dekat sini, hari ini atas kesalahan membunuh seorang lelaki warga asing dan mencampak mangsa dalam keadaan kaki dan tangannya terikat di tepi Jalan Rawang- Bestari Jaya pada 29 Disember lalu.

Lelaki tempatan yang merupakan seorang penganggur, Visvanathan Kandasamy, 57, dan Md Mojibur Rahman, 30, yang bekerja sebagai buruh kasar di kilang besi mengangguk kepala tanda faham selepas kertas pertuduhan dibaca secara bersama di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Kedua-dua tertuduh dibawa mahkamah dengan tangan bergari dan dikawal beberapa anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak jam 9.15 pagi.

Turut hadir ke mahkamah isteri tertuduh yang kelihatan sedih sepanjang prosiding.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka dengan niat bersama telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas jurukimpal warga Bangladesh, Khalek Sheikh yang berusia 41 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan Jalan Bestari Jaya-Rawang di Batu Arang antara jam 9 malam hingga 9.40 malam 29 Disember 2022.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi.

Tertuduh warga Bangladesh tidak diwakili peguam manakala Visvanathan diwakili pelatih dalam kamar, Goh Jia Yee.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan ke atas kedua-dua tertuduh dan menetapkan 5 April ini sebagai tarikh sebutan kes untuk penyerahan laporan kimia dan bedah siasat.

Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Kolanthaivelu Raman mengendalikan siasatan dan tangkapan kedua-dua suspek dalam kes tersebut. – MalaysiaGazette