Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membekukan akaun bank parti itu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti itu dapat menerima alasan bahawa langkah yang diambil suruhanjaya tersebut adalah sebahagian daripada proses siasatan.

“Bersatu akan terus memberi kerjasama dalam siasatan ini agar fitnah jahat ke atas Bersatu dapat dihentikan segera.

“Para pemimpin dan pegawai parti Bersatu yang diminta memberi keterangan kepada SPRM juga telah diarahkan agar memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknyua telah membekukan akaun-akaun milik Bersatu.

Azam berkata, akaun terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Sementara itu, Hamzah mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjadikan agensi kerajaan itu sebagai alat untuk mencapai matlamat politik mereka bagi membunuh kredibiliti parti itu dan Perikatan Nasional.
“Kami yakin, rakyat sentiasa sedar mengenai strategi jelek PH-BN yang mahu memesong perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan serta amalan nepotisme kerajaan mereka,” ujarnya.
Tambah beliau, Bersatu sentiasa tegas dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik dan ahli dan pemimpin parti itu diminta bersabar dan terus beristiqamah dalam menghadapi ujian dan fitnah ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. “Move On” lah Hamzah Zainudin, jika puak anda sudah mahu berikan kerjasama sepenuhnya tidak perlulah salahkan pihak lain (PH/BN kah) pasti ada sebab SPRM bertindak demikian.. beristiqamahlah selalu & “Berfikiran Waras”…

Comments are closed.