JASIN – Seorang penganggur muda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas berusia 91 tahun di Kampung Pulai Darat, Jasin, di sini bulan lalu

Tertuduh, D. Peter, 20, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Tan Chai Wei.

Tiada pengakuan direkodkan dalam pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa telah membunuh seorang wanita, Misah Md. Amin, 91.

Kesalahan itu dilakukan di KM16 Kampung Pulai Darat Merlimau dalam daerah Jasin , kira-kira pukul 1.30 pagi 20 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 8 Mac ini sebagai sebutan semula kes dan mendapatkan laporan bedah siasat.

Dalam kejadian pukul 1.50 pagi 20 Januari lalu seorang warga emas ditemui maut dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya.

Kematian mangsa, Misah Md. Amin, 91 yang dipercayai tinggal seorang diri di rumah tersebut, disedari jirannya yang menyewa di tanah warga emas berkenaan.

Susulan itu, seorang lelaki diberkas berhampiran kawasan kejadian pada pukul 8 pagi hari sama

Semakan polis mendapati, suspek turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan berkaitan kes samun. – MalaysiaGazette.