KUALA LUMPUR – Emraz Travel & Tours (Emraz), sebuah agensi pelancongan dan pengendali umrah dan haji menjangka 12,000 jemaah bakal menggunakan pakej pembiayaan umrah patuh syariah yang diperkenalkan melalui kerjasama strategik dengan AmBank Islamic, pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Emraz, Datuk Dr Zulkarnain Endut berkata, pada tahun lalu syarikat ini telah menerbangkan lebih 30,000 jemaah umrah ke Tanah Suci dan jumlahnya dijangka meningkat kepada lebih 41,000 pada tahun ini.
Zulkarnain berkatanya, pihaknya mengalu-alukan kesediaan AmBank Islamic mengadakan kerjasama dengan ejen umrah berlesen seperti Emraz untuk menawarkan pakej pembiayaan yang pertama seumpamanya.
”Kerjasama ini selari dengan kempen #EMRAZuntuksemua yang berhasrat membantu lebih ramai umat Islam dapat berkunjung ke Tanah Suci terutamanya ketika berlakunya peningkatan kos tambang penerbangan dan juga hotel.
”Kami berharap kerjasama ini dapat mengurangkan beban kewangan bakal jemaah bagi menunaikan umrah dengan adanya pembiayaan yang mudah dan menyenangkan,” kata Zulkarnain selepas Majlis Pelancaran dan Memeterai MoU Pembiayaan Umrah AmBank Islamic dan Emraz Travel & Tour, semalam.
Pakej pembiayaan ini merupakan antara usaha menambah baik produk dan perkhidmatan Emraz yang berhasrat untuk muncul sebagai syarikat agensi pelancongan terkemuka di Malaysia.
Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, pakej pembiayaan umrah yang dilancarkan itu direka khas untuk pelanggan bukan sahaja termasuk kakitangan awam tetapi juga kakitangan syarikat senaraian awam terpilih.
”Jika sebelum ini peluang mereka menunaikan umrah agak sukar kerana terpaksa terlebih dahulu mengumpul sejumlah wang namun dengan adanya pembiayaan ini, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban tersebut,” jelas beliau.
Di bawah kerjasama pakej pembiayaan yang ditawarkan melalui Emraz, mereka yang berminat boleh memohon tawaran Pembiayaan Peribadi Islam AmBank sehingga RM250,000 dengan tempoh fleksibel sehingga 10 tahun selain menjadi pelanggan Kad Kredit-i AmBank Baharu akan menikmati kadar sifar peratus yang menarik (pelan ansuran QuickCash) untuk pengeluaran pertama sebanyak RM15,000.
Emraz menawarkan pakej umrah dari serendah RM5,990 hingga ke pelbagai pakej yang boleh diubahsuai mengikut kehendak dan keperluan pelanggan bakal jemaah yang ingin menunaikan ibadah tersebut.
Zulkarnain berkata, Emraz akan terus menerokai peluang-peluang untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan terbaharu yang dapat memberikan manfaat kepada pelanggan sedia ada dan juga menarik lebih ramai pelanggan.
Dalam pada itu, Emraz juga membuat promomi pakej umrah khas buat pengamal media tempatan dengan diskaun RM1,000.- MalaysiaGazette – MalaysiaGazette