Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Artikel ini ditulis oleh pembaca Malaysia Gazette

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengakhiri tahun 2022 dengan isu peletakan jawatan Pengerusi MUDA Pahang, Malani Manimaharan dan Pengerusi MUDA Pulau Pinang, Jazz Tan. Selain itu, MUDA juga mengumumkan penggantungan salah seorang pengasasnya, Mutalib Uthman sebagai Pengerusi Negeri Perak serta keanggotaannya dalam parti digantung selama tiga tahun.

Kemelut antara Mutalib dan MUDA bermula apabila Mutalib mengumumkan dirinya bertanding di Parlimen Tapah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada November lalu. Namun pengumumannya itu tidak mendapat persetujuan parti dan didakwa melanggar Perlembagaan MUDA. Kerusi Tapah bagaimanapun diserahkan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Mutalib dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen Masjid Tanah, Melaka.

Memasuki tahun ketiga penubuhannya, MUDA dilihat langkah kiri pada 2023. Bukan sahaja berdepan isu penggantungan dan peletakan jawatan tetapi juga nasib Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkemungkinan diketahui tahun ini. Semua sedia maklum bahawa Syed Saddiq berdepan empat pertuduhan mahkamah membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Setiap pertuduhan boleh membawa hukuman penjara sehingga 10-15 tahun jika disabitkan kesalahan. Figura politik popular seperti Syed Saddiq sehingga ke hari ini membawa arus perjuangan serta panji MUDA. Tanpa Syed Saddiq, MUDA tidak mampu bergerak jauh dan menjadi sebuah parti ‘ikan bilis’. Hubungannya dengan ahli-ahli politik lain ditagih oleh MUDA bagi menjalinkan kerjasama kukuh dengan parti lain seperti Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

Tiada figura selain Syed Saddiq yang mampu membawa nama MUDA jika Ahli Parlimen Muar itu ‘terpaksa’ mengosongkan kerusinya sebagai Presiden sekiranya didapati bersalah. MUDA masih kurang matang dan tidak mempunyai kelompok penyokong yang ramai.

Parti itu tidak popular dalam kalangan rakyat luar bandar. Populariti Syed Saddiq kuat di media sosial. Namun, impak media sosial hanyalah dalam jangka pendek. Media sosial digunakan untuk menggerakkan agenda tetapi bukan medium untuk MUDA mengekalkan sokongan. MUDA memerlukan akar umbi yang kuat namun parti itu masih belum matang dalam aspek berkenaan. Parti berkenaan menerima persaingan banyak parti-parti veteran di kawasan luar bandar khususnya.

Kita masih belum melihat sebarang usaha kolektif dilaksanakan oleh MUDA bagi menarik para pengundi di seluruh Malaysia, terutamanya di luar bandar. Bagi menarik pengundi luar bandar, hubungan sosial antara MUDA dan rakyat perlu diperkukuhkan. Justeru, 2023 merupakan tahun permulaan yang sesuai untuk MUDA menggembleng tenaga membina hubungan sosial menjelang PRU akan datang.

Sebagai sebuah parti yang boleh dilabel sebagai setahun jagung, MUDA mempunyai cita-cita besar untuk cuba menawan Sabah dan Sarawak. Banyak kenyataan dibuat oleh Syed Saddiq untuk menarik perhatian penduduk gagasan Borneo, antaranya menyerahkan autonomi kepada kedua-kedua negeri.

Jika dihitung dan diambil kira daripada pelbagai aspek, terlalu jauh perjalanan MUDA untuk menakluk hati penduduk Sabah dan Sarawak. Cabaran seperti penerimaan dan keyakinan rakyat kedua-dua negeri terhadap MUDA masih berada pada paras rendah. MUDA juga belum kukuh atau diiktiraf sebagai kuasa besar politik negara untuk melaksanakan perubahan daripada aspek politik, pembangunan, ekonomi serta sosial.

Justeru, ‘penaklukan’ Sabah dan Sarawak kekal menjadi angan-angan buat masa ini. Walaupun MUDA meletakkan calon anak jati Sabah pada PRU-15 di Parlimen Kota Marudu, namun jumlah undi yang diterima masih terlalu sedikit. Kemelut dalaman dan penyusunan strategi yang terlalu gopoh, berkemungkinan merencatkan matlamat perjuangan sebenar MUDA.

Terlalu banyak yang ingin dikejar akan mendatangkan kerugian tidak dijangka kepada parti itu. MUDA perlu sabar, merangka kembali pelan tindakannya dan kembali kepada asas perjuangan asal. Bina segala acuan untuk kekal relevan dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang. Paling penting, tanamkan sifat matang dalam berpolitik dan fokus kepada membina hubungan dengan pengundi. Baru rakyat akan terima MUDA namun jika enggan berubah, salahkan diri sendiri.

Dzulkarnain Othman

 

Nota Pengarang: Penulisan yang dikongsi oleh penulis tidak menggambarkan pendirian atau pandangan MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast