Pengarah KPDN, Ariffin Samsudin bercakap pada sidang media Ops Jeriji 4.0 di Kompleks Sentral di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan menyita 11,381 unit barangan yang disyaki tiruan bernilai RM250,000 di dua premis berasingan di ibu negara, baru-baru ini.

Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, pasukannya bersama-sama wakil pemilik cap dagangan telah membuat serbuan ke atas sebuah premis pemborong di Jalan Haji Taib, Chow Kit dan premis stor penyimpanan di Pandan Perdana, di sini, selepas risikan selama dua minggu.

“Premis Chow Kit yang disewa dengan harga RM9,000 manakala stor di Pandan Perdana dengan kadar sewaan RM3,000 bagaimanapun tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Bekalan untuk premis pemborong dipercayai akan diambil dari premis stor seminggu sekali bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Kompleks Sentral, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua premis itu turut menjual beg, dompet dan beg tangan tiruan secara atas talian kepada pelanggan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Hasil serbuan mendapati kedua-dua premis ini dimiliki oleh individu yang sama dan dipercayai telah menjalankan perniagaan ini lebih daripada lima tahun.

“Tiga individu iaitu pemilik perniagaan dan dua orang pekerja dalam lingkungan umur 30 hingga 40 tahun telah berjaya ditahan dalam serbuan,” ujarnya.

Menurut Ariffin, bekalan beg dan dompet tiruan itu diperoleh dari China dan kesemua stok adalah bagi tujuan penjualan kepada orang ramai menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Pengarah KPDNKSH, Ariffin Samsudin menunjukkan antara barangan tiruan yang dirampas ketika serbuan Ops Jeriji 4.0 baru-baru ini.

“Beg dan dompet berjenama ini diperolehi pada harga kos RM10 hingga RM80 seunit serta akan dijual pada harga borong bermula RM20 seunit.

“Manakala peniaga runcit akan menjual pada harga RM60 sehingga RM200 bagi seunit beg atau dompet bergantung kepada kualiti barangan,” jelasnya.

Tambah Ariffin, kes disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Dalam pada itu, Ariffin berkata, sebanyak 125 kes direkodkan di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 pada tahun lalu.

Menerusi kes-kes berkenaan sebanyak 178,918 unit barangan telah disita berjumlah RM4.5 juta.

“Manakala jumlah tangkapan di bawah Ops Jeriji 3.0 bagi tahun lalu adalah seramai 24 orang dan Ops Jeriji 4.0 bagi tahun 2023 seramai dua orang melibatkan kesalahan harta intelek,” ujarnya.

Sementara itum KPDN menyeru orang ramai supaya tidak terlibat dalam urusniaga yang melibatkan barang tiruan berjenama daripada peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab. – MalaysiaGazette