Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menyemak semula peraturan etika berpakaian dan syarat laporan polis yang dikenakan kepada orang ramai agar tidak menyusahkan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim berkata, etika berpakaian dan syarat laporan polis ketika ini tidak diselaraskan secara menyeluruh di setiap balai di seluruh negara.

Beliau berharap, dua isu itu dapat diselaraskan secepat mungkin bagi mengelak kekeliruan orang ramai yang datang ke balai polis untuk berurusan.

“Saya harap Menteri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dapat duduk bersama Ketua Polis Negara untuk bincang perkara ini dengan baik dan tegas supaya tidak menyusahkan rakyat.

“Apa pula polis di Balai Polis Daerah Kajang tidak benarkan seorang perempuan memakai seluar pendek membuat laporan berhubung kemalangan yang berlaku ke atasnya.

“Kalau kemalangan itu berlaku di tempat A, mangsa kena buat laporan di tempat kejadian, tidak boleh di balai lain, ini menyusahkan. Mana ada peraturan seperti ini.

“Saifuddin kena maklumkan kepada Ketua Polis Negara, yang mana laporan polis boleh dibuat di mana-mana balai. Sekarang zaman Sains dan Teknologi,” katanya menerusi hantaran Facebooknya semalam.

Selasa lalu, sebuah portal melaporkan dakwaan seorang wanita yang mahu membuat laporan polis susulan kemalangan kereta, dilarang masuk ke balai polis disebabkan pemakaiannya.

Karen (bukan nama sebenar) memberitahu media berkenaan, seorang anggota di Balai Polis Kajang tidak membenarkannya masuk kerana “mengenakan seluar pendek”.

“Pegawai itu lihat saya memakai seluar pendek (melalui tingkap kereta) dan minta saya beredar. Saya memakai seluar Bermuda yang menutup lutut saya,” kata Karen yang dipetik sebagai berkata.

Zaid yang merupakan pengamal undang-undang menegaskan, mana-mana balai polis perlu menerima laporan yang dibuat walaupun bukan berhampiran dengan kediaman atau tempat kejadian mangsa.

Ini katanya, akan menyusahkan orang berkenaan mencari balai berhampiran yang mungkin jarakkannya antara 30 hingga 40 kilometer.

Beliau mencadangkan, setiap laporan di mana-mana balai, anggota berkenaan menyerahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut, bukan mengarahkan orang ramai pergi ke balai berdekatan.

“Jangan beritahu kepada orang ramai tidak boleh buat laporan di sini, sebaliknya kena cari balai berdekatan. Ini menyusahkan. Mana ada peraturan begini.

“Oleh itu, Saifuddin, anda kena beritahu kepada polis, biar ada disiplin sedikit. Jangan menyusahkan orang ramai. Orang nak buat report mana-mana balai terpulang kepada mereka.

“Sama juga dengan pakaian, mana ada nak buat laporan kena pakai pakaian begitu, begini. Menjolok mata ke tidak menjolok mata pun itu soal lain. Polis kena terima laporan,” katanya. – MalaysiaGazette