Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

KUALA LUMPUR – Menara telekomunikasi yang didakwa tidak berfungsi di Kampung Semawa, Pantu di Sarawak bagi tempoh lama disasar beroperasi dengan perkhidmatan 4G sebelum penghujung tahun ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)  berkata, sebagai langkah interim pihak Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) sedang melaksanakan pemasangan peralatan perkhidmatan Wi-Fi di bawah inisiatif Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) di menara tersebut.

Langkah ini bagi membolehkan penyediaan perkhidmatan Wi-Fi untuk komuniti sekitar Kampung Semawa, Pantu, Sarawak.

”Penyediaan kemudahan Wi-Fi ersebut dijangka siap sepenuhnya sebelum hujung Mac 2023,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas isu yang diketengahkan oleh penduduk setempat, SKMM berkata, menara telekomunikasi yang dimaksudkan oleh pengadu adalah menara telekomunikasi di bawah projek pembinaan yang dikendalikan Kerajaan Negeri Sarawak.

Pembinaan struktur menara yang terletak 4.5 km dari Pekan Pantu tersebut telah siap dan kini di peringkat akhir rundingan komersil dengan pihak penyedia perkhidmatan seperti CelcomDigi, Maxis dan U Mobile bagi penyediaan kemudahan perkhidmatan talian mudah alih 4G di menara tersebut.

Pihak SKMM telah melaksanakan fasilitisasi bagi memudahcara proses rundingan antara pihak penyedia kemudahan perkhidmatan dan SDEC, sebuah syarikat kerajaan negeri Sarawak.

Di bawah inisiatif JENDELA Fasa 1 pula, sejumlah 10 menara telekomunikasi baharu sedang dibangunkan di daerah Sri Aman pada tahun ini.

Menara-menara ini dijangka siap dan mula beroperasi secara berperingkat sehingga suku keempat 2023. – MalaysiaGazette