KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan Malaysia Madani sebagai jalan ke depan untuk negara ini serta masyarakatnya yang rencam kaum dan budaya.
“Kita pastinya berusaha agar nilai-nilai ini digerak serta dilaksana sebaiknya,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Anwar melancarkan slogan baharu Malaysia Madani pada 19 Januari lalu dalam usaha membina semula martabat negara yang makmur dan dikenali pada masa depan.
Beliau turut berkongsi infografik yang memaparkan logo Malaysia Madani dalam hantaran yang sama.

Berdasarkan maklumat dalam infografik tersebut, Malaysia Madani merupakan panduan dan ikhtiar secara bersepadu dan holitistik sebagai dasar pentadbiran yang lebih manusiawi.
Malaysia Madani bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban.
Kerangka Malaysia Madani menjadi pemacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dan kearifan tempatan.
Berhubung logo Malaysia Madani, lima jari dengan jalur merah putih merupakan simbolisme kepada Rukun Negara, iaitu asas ideologi Malaysia.
Bulatan berwarna biru pula menandakan kebulatan, muafakat dan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Bulan sabit merupakan simbol Islam sebagai agama Persekutuan manakala bintang berbucu 14 menandakan perpaduan dalam kalangan 15 negeri dan Wilayah Persekutuan.
Warna biru melambangkan kesatuan nasional, keterangkuman dan persaudaraan dan merah bermaksud keberanian, jati diri dan keazaman.
Warna kuning pula sebagai simbol nilai tradisi, kebudayaan dan kearifan tempatan manakala putih bermakna keluhuran budi, kesucian hati dan hasrat murni. – MalaysiaGazette