Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari (tengah) menyampaikan sumbangan kepada veteran ATM, Koperal (B) Safaruddin Suhaimi (dua kanan) yang menghidap kanser usus tahap 2, ketumbuhan paru-paru dan kudung kaki semasa Ops Gubir 1985 di Taman Semarak, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 02 FEBUARI 2023.

KAJANG – Kementerian Pertahanan (Mindef) merancang untuk membina sebanyak 40 buah rumah secara percuma bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi program Inisiatif Perumahan Veteran ATM sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, program rumah itu ditawarkan kepada golongan veteran yang mempunyai tanah sendiri namun tidak mampu untuk membina kediaman sendiri.

Jelas beliau, rumah yang berkeluasan 850 kaki persegi merangkumi tiga bilik tidur dan sebuah bilik air itu bernilai kira-kira RM85,000 sebuah.

“Bagi mereka yang tiada tanah namun terdapat ahli keluarga yang membenarkan rumah dibina atas tanah mereka untuk veteran ATM terbabit, kita akan binakan juga.

“Kita menerima banyak permohonan dan kita nilai yang benar-benar layak termasuk pendapatan dan tanggungan anak yang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada veteran ATM, Koperal (B) Safaruddin Suhaimi di kediamannya di Taman Semarak di sini hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari (tengah) mendengar cerita veteran ATM, Koperal (B) Safaruddin Suhaimi (dua kanan) yang menghidap kanser usus tahap 2, ketumbuhan paru-paru dan kudung kaki semasa Ops Gubir 1985 di Taman Semarak, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 02 FEBUARI 2023.

Adly menambah, pada tahun lalu, kementerian berjaya membina 25 rumah menerusi program Inisiatif Perumahan Veteran ATM itu.

Beliau memberitahu, projek yang dijalankan dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad akan menyasarkan jumlah rumah dibina yang lebih banyak dari tahun ke tahun.

Sementara itu, Adly menegaskan, pihaknya sentiasa menjaga kebajikan veteran ATM menerusi program-program bantuan kerajaan.

“Kita akan pastikan tiada pihak yang terpinggir dan usaha-usaha seumpamanya akan dipergiat dan diperluas dalam memastikan setiap khidmat bakti yang dicurahkan dalam perkhidmatan mendapat pengiktirafan sewajarnya,“ katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang merangka program dermasiswa untuk disalurkan kepada anak-anak veteran ATM yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Dalam pada itu, Sarafuddin, 62, merupakan veteran ATM daripada pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja  kehilangan kaki kanannya semasa menjalankan Operasi Gubir pada 1985.

Beliau mula berkhidmat pada Februari 1981 dan bersara pada 2002 kini menghidap kanser usus tahap dua serta ketumbuhan pada paru-paru. – MalaysiaGazette

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari (tengah) menyampaikan sumbangan kepada veteran ATM, Koperal (B) Safaruddin Suhaimi (dua kanan) yang menghidap kanser usus tahap 2, ketumbuhan paru-paru dan kudung kaki semasa Ops Gubir 1985 di Taman Semarak, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 02 FEBUARI 2023.