beras SST nikotin rumah terbuka madani LGBTQ nik elin zurina
Ahmad Yahaya

KUALA LUMPUR – Pelantikan Nurul Izzah Anwar yang diberikan tanggungjawab sebagai pengurus tender kerajaan bukan sahaja menyebabkan berlakunya konflik kepentingan, bahkan mendorong defisit keyakinan rakyat terhadap kerajaan semasa.

Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim disarankan tidak melibatkan konflik kepentingan dalam aspek pengurusan perolehan kerajaan.

Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya mengharapkan agar kerajaan khususnya Perdana Menteri dapat memelihara integriti sebagai sebuah kerajaan sebagaimana yang telah dibangunkan di bawah pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri.

”Sebelum ini, Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pernah menjelaskan bahawa beliau sendiri tidak pernah terlibat dalam sebarang bentuk urus tadbir perolehan di bawah KASA. Hal yang demikian dilaksanakan demi menjunjung nilai integriti dalam berkerajaan.

”Sewajarnya aspek pengurusan tender kerajaan diberikan kepada sesebuah jawatankuasa tanpa penglibatan pihak yang mempunyai kepentingan tertentu. Ia bagi memelihara integriti sesebuah kerajaan apatah lagi aspek perolehan kerajaan sememangnya suatu ‘lubuk rasuah’ berdasarkan data daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ironinya seseorang yang sering melaungkan slogan reformasi dan Kerajaan Madani mengambil sikap tidak serius untuk mendukung prinsip integriti dalam pentadbiran, tambah Ahmad.

Tegas beliau, tindakan Anwar melantik anak sendiri dalam menguruskan perolehan secara tidak langsung menyebabkan keyakinan rakyat semakin terhakis.

”Satu demi satu langkah Perdana Menteri dan kerajaan pada hari ini tidak seiring dengan slogan yang sering dilaungkan sebelumnya. Malah, negara semakin mengundur ke belakang dengan cara politik lapuk.

”Oleh itu, saya menasihatkan Anwar Ibrahim supaya mempertimbangkan semula posisi pengurusan tender kerajaan tersebut. Usah tambah kerapuhan dalam kerajaan yang sedia rapuh.

” Jadilah sebuah kerajaan dalam erti kata yang sebenar, jika anda memahami apa yang saya maksudkan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette