Polis sedang menyiasat kenyataan berbaur perkauman semasa berlangsung sebuah konsert baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan selepas menerima satu laporan polis berhubung video tular yang menggunakan nama ‘fatinamyralee’ disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman ketika konsert AR Rahman berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras, Zam Halim Jamaluddin, berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Sehingga kini percakapan saksi telah dirakam dan siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kejadian ini.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette