Aminuddin Harun

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mencadangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu dibubarkan pada 1 Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau yang juga Naib Presiden PKR bagaimanapun berkata, cadangan itu akan dibincangkan terlebih dahulu bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Kita belum bincang dengan Majlis Presiden, tapi cadangannya bubar pada 1 Jun, hanya cadangan, esok-esok (adakan) perbincangan mungkin akan berubah (tarikh bubar). Kita juga akan ada mesyuarat menteri besar hujung bulan dua ini, kita akan bincang secara tidak formal, insya-Allah.

“… Jun bubar, lepas itu terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nak buat PRN bila dalam tempoh 60 hari (lepas bubar DUN).. maknanya bersama (negeri lain), tak ada masalah,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi bayangan bahawa DUN Kedah akan dibubarkan selepas pertengahan Jun mengambil kira beberapa faktor termasuk bulan Ramadan, sambutan Aidilfitri, tempoh ibadah haji serta sambutan Aidiladha.

Selain Negeri Sembilan dan Kedah, empat lagi negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu. – Bernama