Foto Facebook Mas Hashim.

KUALA LUMPUR – Pelakon Rashidi Ishak kembali bergelar suami selepas mengakhiri zaman duda apabila memilih penerbit dan pengarah, Wan Hasliza Wan Zainuddin sebagai isteri pada majlis pernikahan yang dipercayai berlangsung di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan, hari ini.

Berita itu dikongsi oleh jurusolek dikenali sebagai Mas Hashim menerusi laman Facebook miliknya, hari ini.

Menerusi hantaran berkenaan, jurusolek itu memuatkan foto Rashidi berbaju Melayu putih lengkap dan duduk di sisi Wan Hasliza yang mengenakan baju kebaya dengan warna sama.

“Tahniah Rashidi Ishak dan Wan Hasliza Wan Zainuddin. Semoga berkekalan hingga ke hujung nyawa,” tulisnya.

Rashidi mendirikan rumah tangga dengan pelakon Vanidah Imran pada 1 Oktober 2000 dan dikurniakan dua cahaya mata, Mikhail Imran dan Maryam Rashika.

Ikatan perkahwinan selama 17 tahun itu terlerai apabila masing-masing memutuskan untuk berpisah pada 9 Ogos 2018. – MalaysiaGazette