Nancy Shukri pada majlis pelancaran Program Matahari (Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita) dan Iris (Literasi Perundangan dan Hak Wanita) di Kuala Lumpur.

PUTRAJAYA – Badan Bukan Kerajaan (NGO) diharap dapat memainkan peranan menyebarkan maklumat berkaitan isu keganasan rumah tangga khususnya berkaitan perundangan kepada kaum wanita di luar bandar.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kaum wanita tanpa mengira lapisan masyarakat dan latar belakang perlu sentiasa diberikan maklumat terkini berkaitan isu berkenaan sebagai persediaan.

“Macam hari ini kita dapat tahu banyak NGO yang hadir, jadi kita harap mereka dapat sebarkan maklumat (tentang isu keganasan rumah tangga),” matanya sidang media selepas merasmikan Program Matahari (Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita) dan Iris (Literasi Perundangan dan Hak Wanita), di sini, hari ini.

Jelas beliau, Matahari merupakan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan kendiri melalui strategi psikologi, pemikiran positif bagi memastikan emosi stabil dalam kalangan wanita.

“Program ini diilhamkan mengambil kira penemuan yang menunjukkan kepentingan pengurusan isu kesihatan mental wanita serta peningkatan tahap tekanan, termasuk susulan impak pandemik Covid-19 di taman tahap kesejahteraan wanita terjejas,” jelasnya.

Menurut Nancy, Program Iris pula adalah program yang memfokuskan kepada elemen pemahaman tentang perihal penganiayaan terhadap wanita daripada segi perundangan.

Jelasnya, Iris berfungsi untuk menyampaikan ilmu mengenai hak individu dari aspek perundangan, saluran aduan dan bantuan yang disediakan kepada mangsa keganasan dan diskriminasi.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 506 kes keganasan rumah tangga dilaporkan menerusi Talian Kasih pada tahun lalu.

Menurut Nancy, jumlah tersebut berkurang 468 kes berbanding tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette