pengundi wang
Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengenal pasti seramai 90 individu yang didakwa menerima wang tunai di Terengganu untuk mengundi sebuah parti politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, hari ini.

“Siasatan SPRM perlu sedikit masa untuk mencari mereka kerana tidak semua mereka menetap di Terengganu.

“Individu yang terbabit dalam isu penerimaan wang tunai tersebut diminta untuk tampil ke pejabat SPRM terdekat,” katanya.

Pada 16 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen melibatkan tiga kerusi Parlimen tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November lalu, beberapa hari sebelum PRU-15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Bagaimanapun, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, pemberian wang tunai kepada pengundi adalah sedekah hasil ihsan daripada orang ramai.

Isu tersebut timbul selepas rakaman video tular dalam media sosial yang memaparkan seorang lelaki meminta pengundi bersumpah mengundi parti politik tertentu sebelum diberikan sejumlah wang. – MalaysiaGazette