Muhyiddin Yassin (tengah) bercakap pada sidang media selepas Majlis Pemukiman Ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional, turut sama Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin (kiri) dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 02 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan parti Bersatu yang dipimpinnya tidak menerima sebarang wang daripada dana Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM92.5 bilion sebagaimana didakwa sesetengah pihak.

Presiden Bersatu itu juga yakin, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan secara profesional berhubung dakwaan itu yang menyebabkan akaun parti dibekukan semalam.

Katanya, siasatan itu nanti diharapkan dapat membersihkan nama Bersatu.

“Merujuk kepada akaun bank Bersatu yang telah dibekukan. Saya ingin mengulangi penegasan saya bahawa Bersatu tidak menerima sebarang wang daripada dana Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM92.5 bilion seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Pada masa ini, SPRM telahpun memperolehi penyata kewangan termasuk dokumen kewangan parti yang berkaitan.

“Saya menegaskan bahawa dasar yang telahpun ditetapkan oleh Bersatu ialah setiap sumbangan kepada parti mesti dimasukkan ke dalam akaun parti,” katanya pada siding media selepas merasmikan Pemukiman Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan badan itu telah membekukan akaun milik Parti Bersatu.

Akaun berkenaan dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Menurut beliau, siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Muhyiddin juga turut menegaskan, tidak ada sumbangan dana politik dimasukkan ke dalam akaun peribadinya atau pegawai dalam parti itu termasuk mana-mana organisasi yang beliau saya mempunyai kepentingan seperti yayasan dan sebagainya.

“Tidak ada langsung. Malah, SPRM juga telah membuat siasatan di Bersatu Bahagian Pagoh. Tak apa, itu tugasan mereka.

“Tetapi, saya ingin tegaskan dan ini juga telah disemak oleh SPRM, saya percaya siasatan ke atas penyata akaun Bersatu akan dapati tidak ada wang berbilion ringgit dalam akaun itu.

“Kalau ada (berbilion), itu pelik jugalah, kaya rayalah kita. Tak ada (wang sebanyak itu),” katanya.

Katanya, Bersatu sebelum ini berjanji akan memberi Kerjasama kepada SPRM dengan menyerahkan beberapa akaun yang telah diaudit dan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Bersatu sebelum ini.

Jelas beliau, akaun 2020 dan 2021 yang sudah diaudit juga diserahkan dan tidak ada apa-apa perkara luar biasa, malah semuanya betul.

“Akaun tahun 2021 pun telah tutup dan diaudit. Juga pernyataan yang tegas dan jelas, tidak ada apa-apa luar biasa. Bermaknanya ia adalah teratur.

“Manakala akaun 2022 akan dibentang dalam Perhimpunan Agung Bersatu Mac ini, tetapi ada sedikit masalah untuk diaudit kerana dokumennya dipegang oleh SPRM.

“Harapan kita, SPRM dapat serahkan semula dokumen itu untuk membolehkan juruaudit kita boleh buat kerja bagi menyelesaikan perkara itu (audit),” ujar beliau. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Bodohlah kalau duit berbillion di sakau masuk dalam akaun bank . Mana ada penyamun simpan duit dalam bank. Belajarlah dari bapak penyamun Tun M

Comments are closed.