KUALA LUMPUR – Seramai 2,000 individu bakal diberikan peluang kedua untuk bergelar tenaga kerja mahir menerusi latihan industri dan penempatan kerja melalui Program Latihan Kerjaya Hospitaliti hasil inisiatif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, buat fasa pertama, pihaknya memberi keutamaan kepada belia, gelandangan, ibu tunggal, individu kurang upaya, individu warga emas.
“Mereka yang mempunyai sejarah kesalahan kecil dengan undang-undang dan golongan tercicir di Wilayah Persekutuan berpeluang mendapatkan sijil, latihan industri dan penempatan kerja.
“Bekas banduan juga golongan penting yang kita bantu sebab mereka ada yang masuk ke sana (penjara) dengan sebab tidak dijangka.
“Kita juga beri peluang kepada mereka, termasuk anak muda yang ramai tercicir dalam pelajaran,” katanya pada sidang media di ibu pejabat YWP di sini semalam.
Terdahulu Zaizalnizam menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Bagi Program Latihan Kerjaya Hospitaliti YWP Bersama UPM-ET dan DHS Hospitality Academy Sdn Bhd sempena Hari Wilayah Persekutuan.
Turut hadir, Pengurus Besar Universiti Putra Malaysia Education & Training (UPMET), Dr Mohd Kamil Yusoff dan Pengarah Kumpulan DHS Hospitality Academy, Dr. S. Sri Kumar.
Tambahnya, program itu dengan kerjasama DHS Hospitality Academy, selaku rakan strategik UPMET akan menawarkan sijil kemahiran dalam industri Hospitaliti dan sektor Penerbangan-Operasi Darat.
“Sepanjang tempoh latihan selama setahun, peserta akan didedahkan dengan pengalaman kerja sebenar yang diyakini lebih efektif, realistik dan praktikal.
Jelasnya, peserta hanya perlu membayar yuran komitmen sebanyak RM100 dan YWP akan memberikan bantuan awal sebanyak RM500 bergantung kepada kelayakan, bagi menjelaskan yuran pendaftaran program.
“Program selama 12 bulan itu mensyaratkan peserta adalah lahir dan menetap di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, Kumar berkata, DHS Hospitality Academy sebagai perintis kerjasama kepada belia Malaysia dan Singapura menawarkan 250 program berkaitan perhotelan melalui platform teknologi pendidikan SKILLS PRO.
“Program ini menawarkan insurans kepada pelatih selain rawatan perubatan,” katanya.
Industri hospitaliti menyediakan elaun bulanan dan produktiviti antara RM600 hingga RM750 sebulan manakala industri operasi darat dengan elaun bulanan RM1,500 hingga RM1,900. – MalaysiaGazette