(Tiga dari kiri) Datuk Fam Lee Ee, Lembaga Pengarah AirAsia X; Benjamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X; Son Taewook, Pengarah Bahagian Promosi Pelancongan Bandar Metropolitan Busan; Shaharuddin Yahya, Pengarah Tourism Malaysia Korea; dan Park Jae Hee, Ketua Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae pada sidang media sambutan penerbangan sulung AirAsia X dari Kuala Lumpur ke Busan di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae di Busan hari ini.

BUSAN – Selepas terhenti selama tiga tahun kerana pandemik Covid-19, AirAsia X kembali menyambung semula perkhidmatan laluan eksklusif terus dari Kuala Lumpur ke Busan.

Penerbangan sulung tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pukul 2.10 pagi tadi dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae pukul 9 pagi hari ini.

Sempena sambutan perkhidmatan penerbangan ini para semua tetamu dalam penerbangan sulung telah dihantar oleh Ahli Lembaga Pengarah AAX, Datuk Fam Lee Ee dan Ketua Pegawai Eksekutif AAX Malaysia, Benyamin Ismail.

Semua 137 penumpang penerbangan D7518 disambut wakil Pertubuhan Pelancongan Busan (BTO).

Benyamin berkata, pihak AirAsia X sangat teruja untuk kembali memulakan semula laluan Kuala Lumpur-Busan.

Malah pihaknya turut berbangga menjadi satu-satunya syarikat penerbangan di Malaysia yang mengendalikan penerbangan terus ke destinasi berkenaan.

“Mulai hari ini, perjalanan udara antara Busan dan Kuala Lumpur kini lebih mudah dan berpatutan, memberikan rangsangan yang dialu-alukan untuk pelancongan dan ekonomi tempatan.

“Berserta laluan sedia ada kami ke Seoul, pengumuman hari ini mengukuhkan lagi kedudukan pasaran kami di Korea Selatan dan meningkatkan kapasiti keseluruhan kami ke Asia Utara – pasaran kami yang paling pesat berkembang.

“Kami akan terus mencari peluang pengembangan pada masa hadapan dan bekerjasama dengan BTO untuk mempromosikan destinasi ini secara global dan menggiatkan industri pelancongan di Busan,” katanya semasa majlis menyambut ketibaan penerbangan sulung kembali AirAsia X ke Busan hari ini.

Menyambut ketibaan AirAsia X adalah Presiden Pertubuhan Pelancongan Busan, Jung-Sil Lee.

Jelas Sil Lee, penerbangan itu merupakan permulaan semula perkhidmatan tambang murah itu dan membolehkan penyambungan semula perhubungan antara Kuala Lumpur dan Busan.

“Permulaan semula perkhidmatan ini menyokong misi kami untuk membina asas pelancongan mampan dengan memberi tumpuan kepada penerbangan ke laluan paling popular terlebih dahulu dan menyokong sektor pelancongan Busan yang terkenal dengan sejarah, budaya, juadah dan seni tempatannya.

“Busan juga turut dinamakan sebagai salah satu daripada ’25 Destinasi Pelancongan Terbaik di Dunia pada 2023′ oleh National Geographic berikutan bandarnya yang mempunyai budaya dan tawaran pelancongan yang menakjubkan.

“Selaras dengan pengiktirafan ini, kami berharap dapat bekerjasama dengan AAX untuk meningkatkan permintaan pelancongan di Busan dan menarik pengembara bukan sahaja dari Malaysia malah negara Asia Tenggara lain yang kini boleh terbang ke bandar ini dengan mudah dan berpatutan melalui Kuala Lumpur,” katanya dalam program sama.

Untuk rekod, penerbangan AirAsia X terus dari Busan dengan kekerapan 3 kali seminggu.

Ketua Pegawai Eksekutif AAX Malaysia, Benyamin Ismail.
Ketua Pegawai Eksekutif AAX Malaysia, Benyamin Ismail.

Sebagai syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia X menawarkan tambang  daripada RM539 sehala untuk tempat duduk ekonomi atau RM1,999 sehala untuk tempat duduk Premium Flatbed. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast