Mohd. Puad Zarkashi.-Foto MUHD NA’IM, 27 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihatkan supaya belajar daripada pengalaman UMNO apabila akuan parti itu dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini berikutan Bersatu berhadapan masalah untuk membayar gaji para petugas parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi berkata, UMNO berhadapan masalah yang sama apabila akaun parti itu dibeku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 apabila Pakatan Harapan mengambilalih pentadbiran negara.

“Muhyiddin mohon supaya SPRM batalkan pembekuan akaun parti Bersatu. Alasannya parti itu akan sukar membayar gaji staf.

“Ini Muhyiddin kena belajar dengan UMNO. Sengsaranya UMNO bila akaun kena beku. Bertahun akaun UMNO kena beku. Baru dua hari lepas rayuan membekukan akaun UMNO ditarik balik,” katanya dalam kenyataan.

Media semalam melaporkan, Muhyiddin berkata, Bersatu sudah menghantar surat kepada SPRM bagi membatalkan pembekuan akuan parti itu.

Menurut Muhyiddin, sebagai sebuah organisasi besar, pembekuan akaun akan menyebabkan kerja politik politik terutama membayar sewa pejabat, gaji kakitangan dan perkara berkaitan pengurusan parti tidak dapat dilakukan.

“Ini juga menjejaskan kelancaran Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi kerana Bersatu adalah sebuah parti yang penting dalam gabungan itu,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini mengesahkan membekukan dua akaun parti Bersatu.

Menurutnya, pembekuan akaun itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut dipercayai melibatkan lebih RM300 juta.

Pada Jun 2018, sebulan selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, UMNO turut berhadapan masalah yang sama apabila SPRM membekukan akaun parti itu.

Sejumlah RM193 juta milik parti itu dan beberapa pihak disita kerana didakwa berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun pada 7 Februari 2020, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa wang UMNO yang dibekukan oleh kerajaan pada 2018 bukan daripada Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan 1MDB.

Pada 30 Januari lalu, pihak pendakwaan juga menarik balik rayuannya untuk melucut hak wang berjumlah RM21.7 juta milik 11 entiti dan individu termasuk UMNO Bahagian Pekan serta Badan Perhubungan UMNO Johor yang didakwa ada kaitan dengan dana IMDB.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. 21 juta je duit umno dah hidup selama lebih 60 tahun . kalah lah dengan pn baru setahun jagung pun dah ada 300 juta . itu lah hebat nya pn pandai buat duit . sebab tu banyak orang dengki padahal pn nak bela orang melayu dan islam . ada duit banyak boleh sedekah . tolong rakyat susah . bukan macam umno dia tolong puak menteri aje .

Comments are closed.