Keadaan banjir di Johor. Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di negeri ini hampir pulih apabila hanya 925 mangsa direkodkan masih ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi setakat pukul 8 pagi hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memaklumkan, ia melibatkan daripada 264 buah keluarga dan menunjukkan penurunan berbanding 977 mangsa yang direkodkan pagi semalam.

“Jumlah mangsa banjir berkenaan hanya melibatkan dua daerah yang masih terjejas iaitu Batu Pahat, kekal daerah terjejas paling teruk apabila merekodkan 877 orang daripada 249 keluarga di enam PPS berbanding 873 mangsa daripada 249 keluarga yang ditempatkan di enam PPS pada waktu sama semalam.

“Keduanya di Segamat, mangsa banjir kini berjumlah 48 orang daripada 15 keluarga di dua PPS berbanding 63 orang daripada 20 keluarga di tiga PPS pada waktu yang sama semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Azmi, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan di Mersing, Jalan Tanah Abang dan selekoh pertama di kawasan yang sama masih ditutup disebabkan laluan dinaiki air masih belum surut.

“Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai juga masih ditutup untuk semua kenderaan disebabkan tanah runtuh manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, Sungai Bekok di Batu Pahat kini mencecah 18.80 meter (m) iaitu melepasi paras bahaya 18.70m,” jelasnya.- MalaysiaGazette