Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) membenarkan pengimportan minyak sawit dari Sime Darby Plantation Bhd (SDP) ke AS berkuat kuasa serta-merta selepas mengubah notis penemuannya mengenai buruh paksa terhadap SDP.

SDP dalam satu kenyataan hari ini berkata, CBP AS telah mengiktiraf proses komprehensif yang dijalankan oleh syarikat itu dalam tempoh dua tahun lalu untuk menyemak semula dan sekiranta perlu meningkatkan protokolnya untuk merekrut, mengurus dan bekerjasama dengan pekerjanya.

“Kami mengambil masa lebih daripada 500,000 jam waktu kerja untuk menjalankan kajian dan menyemak semula perkara yang telah kami sediakan. Untuk memastikan perubahan diterima dan diamalkan, kami juga menempatkan pemboleh utama untuk memperkasakan pekerja kami,” katanya.

Ia juga menyatakan bahawa SDP telah memperkenalkan beberapa perkara dalam industri sebagai sebahagian daripada komitmennya yang diperbaharui termasuk pembayaran balik yuran pengambilan pekerja yang mungkin telah dibayar oleh bekas pekerja semasa dan yang layak untuk mendapatkan pekerjaan dengan SDP yang melanggar dasar yuran pengambilan sifar.

“PricewaterhouseCoopers (PwC) juga dilantik untuk mengesahkan secara bebas setiap pembayaran pemulihan,” katanya.

Selain itu, SDP juga memperkenalkan jangkaan yang lebih ketat dalam Prosedur Pengambilan Bertanggungjawab Pekerja Asing yang dipertingkatkan merangkumi usaha untuk memastikan ejen pengambilan dilantik bertanggungjawab secara kontrak untuk pematuhan kepada piawaian pengambilan beretika dan telus termasuk dasar dan piawaian syarikat.

SDP turut mewujudkan platform dialog sosial, di mana pekerja memilih wakil daripada setiap kewarganegaraan untuk bertemu dengan pengurusan ladang setiap dua minggu dengan lebih 1,500 wakil pekerja rasmi daripada sembilan kewarganegaraan di seluruh operasi kumpulan di Malaysia.

“Lebih 14,200 isu telah dibangkitkan dengan kira-kira 13,800 isu diselesaikan dalam tempoh 17 bulan,” katanya.

Selain itu, kumpulan itu juga telah memperkenalkan kawalan untuk memantau waktu bekerja melalui sistem automasi proses untuk menjejaki masa masuk dan keluar pekerja bagi memastikan pematuhan waktu kerja maksimum.

SDP berkata, ia akan terus bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dan pihak yang sehaluan untuk menyokong perubahan di peringkat industri kerana ia adalah penting bagi industri minyak sawit melakukan semua perkara yang perlu untuk memenuhi tanggungjawabnya kepada rakyat dan dunia. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast