Aeron Ago Dagang ketika hadir pada Majlis Perjumpaan dan Amanat Kementerian Perpaduan Negara di Auditorium Permata Sari, RTM Johor di sini, hari ini.
JOHOR BAHRU – Perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini berada pada tahap baik, dengan kedudukan Malaysia dalam Indeks Keamanan Global berada di tangga ke 18 daripada 163 buah negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata,  isu melibatkan perkauman di negara ini tidak berada pada tahap serius hingga boleh mengganggu gugat keamanan negara dan hanya melibatkan sebilangan kecil didapati mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan agama.
“Keamanan negara tidak akan tergugat atas tindakan tersebut, kerana ianya hanya melibatkan kumpulan kecil yang kadang sekali-sekala, membuat kacau-bilau yang akan menjejaskan perpaduan negara.
“Walaupun ia berada pada tahap baik-baik sahaja tetapi kita perlu kawal daripada terus menjadi besar untuk  menjaga imej negara daripada dikata buruk daripada pihak luar, yang boleh memberi kesan kepada rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan dan Amanat Kementerian Perpaduan Negara di Auditorium Permata Sari, RTM Johor, di sini, hari ini.
Menurut Aaron, bagi menyampaikan mesej perpaduan pada semua kaum dan penganut agama negara ini, seramai 30 individu telah disenaraikan dalam Jawatankuasa Keharmonian Di Antara Penganut Agama yang akan dipengerusikan beliau.
“Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh saya sendiri ini  mempunyai komuniti atau jawatankuasa harmoni dalam penganut agama itu nanti.
“Untuk itu kita juga telah menyenaraikan lebih 30 orang dari semua agama yang ada di Malaysia ini untuk datang dan berbincang, melihat nilai-nilai agama satu sama lain, di mana kita berbeza dan melihat bagaimana dapat bersama,” katanya. – MalaysiaGazette