Nurul Hazwani Haslan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Puteri.

Beliau mahu Puteri menjadi sayap yang mendukung institusi UMNO dan menjadi sebuah pasukan yang dikagumi kawan dan digeruni lawan.

Nurul Hazwani juga ingin mewujudkan satu penanda aras baharu untuk pergerakan itu yang akan dinilai oleh semua lapisan masyarakat pada masa depan.

Ia seiring dengan perubahan landskap politik semasa serta pengukuhan dalam parti demi untuk negara, agama dan bangsa.

“Untuk merealisasikan matlamat ini, kita perlu bergerak sederap melangkah dan berpimpinan tangan serta jangan sekali-kali meruntuhkan saf yang dibina.

“Saya juga memberi jaminan bahawa saya tidak akan melangkah sendirian malah saya mahu maju bersama kalian. We are in this together,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Nurul Hazwani, visi dan misi yang akan ditawarkan adalah jelas dan mampu dilaksanakan.

Pelbagai agenda akan dirangka bagi terus memperkasakan wanita muda terutamanya yang bakal mewarisi kepimpinan negara, katanya.

“Kerangka agenda politik sihat dengan teras kepimpinan, perkaderan, pendididikan, motivasi, kesihatan dan kerjaya serta usrah rohani khusus buat wanita muda akan menjadi fokus sepanjang tempoh kepimpinan bagi mengharungi dunia yang penuh dengan cabaran,” kata Nurul Hazwani.

Beliau percaya Pergerakan Puteri UMNO boleh memainkan peranan penting dalam mencorak dan membantu orang Melayu dan Bumiputra terutama golongan wanita muda dalam mendepani cabaran dunia yang serba moden.

“Hari ini, jika kita mengambil keputusan untuk bersaing tanpa membuat apa-apa persediaan, kita akan dilihat terkebelakang apabila seluruh dunia bergerak ke hadapan.

“Realitinya, hanya untuk keep up kita perlu bergerak dua kali ganda dari kelajuan yang sedia ada,” kata beliau.

Pemilihan kepimpinan Puteri UMNO akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 11 Mac depan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast