Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad Badjunaid.

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad Badjunaid yang meninggal dunia di Jeddah, Arab Saudi, semalam dikebumikan di negara itu.

Menurut kenyataan MAA, pemergian Allahyarham bukan sahaja merupakan kehilangan besar kepada semua ahli persatuan itu tetapi juga kepada seluruh industri automotif.

“Beliau sangat dihormati dalam industri automotif tempatan dan juga oleh rakan-rakan luar negara di ASEAN, APEC dan kerajaan Malaysia.

“Aishah adalah legenda dan salah seorang personaliti automotif terkemuka yang menumpukan tahun-tahun terbaik hidupnya menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan industri automotif Malaysia dengan visi, dedikasi dan semangat,” kata MAA.

Memegang jawatan itu sejak 1991, Aishah menerajui pertumbuhan MAA untuk menjadi persatuan industri automotif terkemuka di Malaysia.

Di bawah kepimpinan beliau, MAA telah berkembang daripada spek kedudukan, keahlian, dan sumber.

“Dengan kepimpinan dan komitmen yang tinggi, persatuan telah terlibat dalam pelbagai dialog, perbincangan dan cadangan dengan kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu industri dan mengkaji semula dasar-dasar untuk menyokong pengembangan dan pertambahan industri automotif di Malaysia,” tambah MAA.

Selain menjadi presiden MAA, Aishah adalah Pengerusi Persekutuan Automotif Malaysia (AFM) sejak 1998.

“Perkhidmatan dan dedikasi beliau lebih daripada 30 tahun kepada MAA serta AFM telah memperkayakan organisasi dengan kebijaksanaan dan pengalaman luasnya.

“Sebagai Presiden, beliau menjadikannya satu titik untuk mendengar semua ahli, mengenali kebimbangan mereka, dan berkongsi dengan mereka pengetahuan dan pengalamannya yang luas dalam banyak bidang.

“Beliau sangat responsif dalam membawa isu-isu bersama kepada pelbagai jabatan kerajaan yang memberi manfaat kepada industri automotif,” jelas kenyataan itu.

Di peringkat serantau, Aishah pernah berkhidmat sebagai Presiden Persekutuan Automotif ASEAN (AAF) bagi tiga penggal iaitu, 2000  hingga 2002; 2008 hingga 2010, dan 2015 hingga 2017.

“Semasa Aishah memegang jawatan presiden pada 2015-2017, AAF berjaya merekrut Persatuan Automotif Myanmar (AAM) dan Persekutuan Industri Automotif Kemboja (CAIF) sebagai ahli, sekali gus membawa 10 persatuan industri negara anggota ASEAN ke AAF,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Allahyarham mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam industri automotif, menjadikan beliau antara individu paling lama berkhidmat dalam industri itu.

Beliau memulakan kerjayanya pada pertengahan tahun 1970-an dengan Inchcape Group of Companies di Malaysia.

Allahyarham kemudian menyertai Ford Malaysia, Tractors Malaysia dan akhirnya bersara pada tahun 2021 ketika beliau bersama Bahagian Sime Darby Motors. – MalaysiaGazette