Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping hadir pada perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-41 prosiding penyelewengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak mengakui pernah berhubung dengan Low Taek Jho atau Jho Low pada lewat malam.

Malah saksi yang juga bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping mengakui dirinya bercakap dengan ahli perniagaan dalam buruan pada lewat malam bagi membincangkan isu berkaitan akuan peribadi Najib yang ketika itu ada perdana menteri.

Untuk makluman, Joanna merupakan antara pegawai Ambank yang mengendalikan akaun peribadi Najib walaupun tidak pernah mendapat mandat secara bertulis daripada mantan Ahli Parlimen Pekan itu sebaliknya hanya berhubung melalui Jho Low.

Joanna telah bercakap dengan Jho Low pada 4 Disember 2015 sekitar pukul 11.46 malam menggunakan aplikasi Blackberry Messenger (BBM) ketika itu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 FEBRUARI 2023.

Ketika pemeriksaan balas antara peguambela utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Joanna mendakwa perbualan mereka pada lewat malam itu berkisar mengenai rancangan penutupan akaun bank Najib seperti yang diminta oleh bekas Pengarah Urusan Kumpulan AmBank, Ashok Ramamurthy.

Joanna: Ashok pada sebelah petang memberitahu saya beliau agak tidak selesa dengan kewujudan akaun Najib. Saya juga telah diminta olehnya untuk tutup semua akaun itu.

Shafee: Apa yang ada dalam minda Ashok sehingga menyebabkan beliau (menyuruh) untuk kamu menutup ketiga-tiga akaun bank itu?

Joanna: Sebenarnya ada banyak isu dengan akaun Datuk Seri (Najib) antaranya banyak sangat transaksi dan juga jumlah kemasukan begitu tinggi.

Shafee: Saya cadangkan kepada anda bahawa Ashok itu seorang yang lurus dan jujur. Tidak ada no nonsense daripada beliau. Jadinya jika perincian berkaitan akaun itu didedahkan anda takut hubungan anda yang bekerja secara rapat dengan Jho Low akan terdedah?

Joanna: Tidak benar.

Muhammad Shafee juga menuduh Joanna sebenarnya bekerja bersama-sama Jho Low malah dirinya juga telah dipecat oleh Ambank kerana bertindak menggunakan pihak ketiga seperti Jho Low untuk mengendalikan akaun Najib tanpa pengetahuan tuan punya badan.

Shafee: Kamu telah melakukan amalan yang jarang sekali dibuat oleh bank iaitu bersengkongkol dengan pihak ketiga melakukan pelbagai transaksi tanpa pengetahuan empunya akaun.

Joanna: Pihak ketiga yang anda cakap itu adalah Jho Low dan benar saya tidak ada surat kebenaran dari Najib atau Jho Low.

Shafee: Ini bukan kedai kopi untuk kami sesuka hati memperlakukan akaun bank seseorang hanya dengan menggunakan arahan secara lisan. (Muhammad Shafee merujuk kepada Jho Low).

“Joanna, anda juga telah mendedahkan maklumat transaksi kepada pihak. Anda sentiasa berhubung dengan Jho Low. Ini adalah menyalahi undang-undang. Kamu telah melakukan kesalahan mengikut undang-undang perbankan. Adakah anda sedar?”

Joanna: Ya, saya tahu.

Prosiding akan bersambung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ketika ini NajibĀ  sedang didakwa atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah dan terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat 1MDB berjumlah RM2.3 bilion. – MalaysiaGazette