Rodziah Ismail

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor bakal menganjurkan satu program pembangunan Industri Mikro, Kecil dan Sederhana (IMKS) berorientasikan eksport melalui program SAY ASPIRE yang dijadualkan bermula Mac sehingga Mei ini.

Exco Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, pihaknya menyasarkan penyertaan 30 usahawan IMKS di Selangor yang bersedia untuk menerokai pasaran global.

Jelas beliau, antara kriteria ialah syarikat hendaklah beroperasi di Selangor, pengarah syarikat berumur 18-40 tahun, tidak diisytiharkan muflis dan disenarai hitam.

“Antara manfaat penyertaan ialah kursus latihan eksport, rangkaian kerja bersama agensi kerajaan seperti Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dan Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank Malaysia).

“Selain itu, usahawan juga berpeluang membuat pembentangan di hadapan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin dan memenangi geran SAY ASPIRE pada pusingan akhir,” katanya dalam satu kenyataan.

Program SAY ASPIRE merupakan kerjasama di antara Exco Pembangunan Usahawan Selangor dan Selangor Youth Community iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang
ditubuhkan oleh Tengku Amir Shah untuk membangunkan usahawan belia di persada antarabangsa.

Program tahunan itu  bermula sejak 2018 dan telah melahirkan ramai usahawan berjaya seperti Medics-Pet, PopsMalaya dan Innersejuk.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata, Kerajaan Negeru Selangor berharap agar program seperti SAY ASPIRE ini bukan sahaja dapat diteruskan malah diperluaskan lagi demi memupuk semangat juang dan daya saing yang tinggi dalam kalangan usahawan IMKS. di Selangor.

“Kita berharap usahawan negeri ini terus berdaya maju dan kekal berdaya tahan, sekaligus dapat mengharumkan nama Selangor di persada dunia melalui eksport produk buatan tempatan namun setanding kualiti antarabangsa,” katanya.

Untuk mendaftar, syarikat boleh melayari laman web www.entrepreneurshipselangor.com.my/sayaspire.

Permohonan akan ditutup pada 12 Februari ini dan yarikat yang terpilih akan dimaklumkan oleh pihak penganjur. – MalaysiaGazette