PUTRAJAYA – Tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana majikan yang memberhentikan pekerja tempatan bagi menggaji pekerja asing untuk menggantikan mereka, kata Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Beliau berkata, rasional kerajaan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bukan untuk menggantikan pekerja tempatan dengan pekerja asing sebaliknya bagi memenuhi keperluan di lima sektor kritikal.
“Tiada sebarang alasan akan diterima sekiranya kerajaan mendapati situasi ini berlaku hingga menyebabkan pekerja tempatan hilang mata pencarian,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan sijil kepada graduan program Pensijilan Profesional Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) 2023, di sini, hari ini.
Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini mendakwa terdapat pekerja tempatan di sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran) telah diberhentikan untuk digantikan dengan pekerja asing.
Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Januari lepas bersetuju mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing sebagai langkah memenuhi keperluan tenaga kerja, selain melaksanakan semula Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
Sementara itu, Sivakumar berkata, kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan Indonesia berkaitan isu kenaikan kos bagi mendapatkan pembantu rumah dari negara itu.
“Kerajaan ambil maklum tentang perkara ini, jadi usaha telah dan akan diambil untuk pastikan urusan membawa masuk pembantu rumah dari Indonesia tidak melibatkan kos tinggi,” katanya.
Baru-baru ini Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dilaporkan berkata, pihaknya bersedia membawa isu kos mendapatkan pembantu rumah dari Indonesia yang melambung tinggi, untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama dalam masa terdekat. – Bernama