Nur Dini menunjukkan gambar motosikal ayahnya yang dicuri dua lelaki pada Selasa lalu.

BUKIT MERTAJAM – “Kami sekeluarga tidak tahu bagaimana gambar suspek curi motosikal yang dikurung dalam reban ayam boleh tular.”

Demikian jelas, Nur Dini Khairunisa Kamal, 25, mengenai gambar tular dua lelaki yang mencuri motosikal jenis Yamaha 125z ayahnya di Kubang Ulu di sini Selasa lalu.

Katanya, kes tersebut telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut namun mereka terkejut gambar kejadian itu tular di media sosial semalam.

“Kes berhubung kecurian motosikal bapa saya itu sudah diserah kepada polis, jadi kami tidak mahu ia dipanjangkan lagi. Kami mohon kepada semua supaya mereka yang memuatkan naik hantaran menunjukkan kedua-dua lelaki berkenaan dikurung dalam reban ayam di media sosial. Padamkannya kerana mahu menjaga aib suspek.

“Saya tidak tahu siapa yang menularkannya kerana keluarga kami juga tidak menyimpan foto berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Nur Dini berkata, motosikal ayahnya disedari hilang kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum dikesan semula empat jam kemudian.

“Kami sendiri tidak tahu bagaimana dan siapa yang menahan kedua-dua suspek ke dalam reban ayam malah saya juga tidak berada di tempat kejadian kerana berurusan di balai polis.

“Kami hargai usaha jiran-jiran yang menahan suspek dengan cara itu tanpa mencederakan kedua-duanya tetapi tidak perlu sebarkan foto itu bagi menjaga aib mereka,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar menunjukkan dua lelaki dikurung dalam reban ayam sementara menunggun kehadiran polis susulan didakwa mencuri motosikal. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.