Petugas Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berada di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Hang Tuah bagi membantu penumpang melancarkan pergerakan ke stesen Bandaraya susulan penutupan LRT Laluan Ampang antara stesen Masijid Jamek dan stesen Bandaraya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kehadiran petugas Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang dikenali Troopers bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang di beberapa stesen Transit Aliran Ringan (LRT) mendapat pujian ramai.

Ia susulan penutupan LRT Laluan Ampang antara stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya pada 27 Januari lalu akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen Bandaraya.

Tinjaun MalaysiaGazette di stesen Hang Tuah mendapati keadaan sesak dengan pertambahan penumpang secara drastik pada waktu puncak, namun keadaan masih terkawal dengan kehadiran Troopers.

Selain itu, pengguna LRT yang menjadikan perkhidmatan itu sebagai pengangkutan ulang-alik ke tempat kerja kelihatan memahami perubahan laluan sementara yang dilaksanakan Prasarana.

Petugas, Muhamad Danial Zaha Halimy bercakap kepada media mengenai petugas Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berada di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Hang Tuah bagi membantu penumpang melancarkan pergerakan ke stesen Bandaraya susulan penutupan LRT Laluan Ampang antara stesen Masijid Jamek dan stesen Bandaraya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 FEBRUARI 2023.

Menurut petugas Prasarana, Muhammad Danial Zaha Halimy, seramai 70 kakitangan syarikat itu akan ditugaskan sebagai Troopers pada waktu puncak pagi dan petang di empat stesen yang terjejas iaitu stesen Hang Tuah, Plaza Rakyat, Masjid Jamek dan Bandaraya.

“Kami akan ditugaskan mengikut syif pada waktu kemuncak iaitu 6.30 pagi hingga 10.30 pagi manakala petang 4.30 petang hingga 8.30 malam dan alhamdulillah seminggu kami laksanakan tugas ini.

“Kami perlu sentiasa bersedia membantu penumpang LRT dengan memegang sepanduk dan menggunakan pembesar suara bagi menyampaikan informasi laluan dengan lebih jelas dan dapat didengari.

“Selain itu, kita juga akan memastikan pergerakan penumpang yang membuat pertukaran di sini berada di platform yang tepat serta selamat ke destinasi dan memberi penerangan dengan baik agar mereka tidak keliru,” katanya pada pemberita.

Petugas, Farah Nassuha Mohammad Rafi bercakap kepada media mengenai petugas Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berada di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Hang Tuah bagi membantu penumpang melancarkan pergerakan ke stesen Bandaraya susulan penutupan LRT Laluan Ampang antara stesen Masijid Jamek dan stesen Bandaraya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 FEBRUARI 2023.

Seorang lagi petugas syarikat itu, Farah Nassuha Mohammad Rafi berkata, beliau teruja membuat tugasan itu kerana dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada penumpang pengangkutan itu.

Bukan itu sahaja, beliau juga gembira kerana ada penumpang yang menghargai tugasan mereka dengan memberi isyarat.

“Sejak hari pertama kejadian saya ditugaskan sebagai Troopers dan saya gembira kerana dapat berkomunikasi selain membantu dengan memberi arahan kepada penumpang LRT yang sesak.

“Pada awal Jumaat lalu, mereka nampak keliru dengan masalah tren ini tapi kami peka dan cuba bantu dengan sebaik mungkin.

“Saya berpuas hati apabila tugas kami yang perlu berdiri lama ini dihargai penumpang sampaikan ada yang beri thumbs up dan tunduk sebagai ucapan terima kasih dengan apa yang kami lakukan.

“Kalau Troppers diteruskan pada keadaan akan datang saya rasa tiada masalah sebab nampak impak dia positif dan perjalanan penumpang juga laju untuk tuju ke destinasi mereka,” ujarnya.

Pada 30 Januari lalu, pengguna LRT diminta menggunakan bas perantara percuma yang disediakan Prasarana di stesen pertukaran Masjid Jamek dengan menyediakan sebanyak 34 buah bas.

Inisiatif itu dilaksanakan berikutan penutupan stesen Bandaraya akibat penjajaran landasan yang bengkok selain kerosakan struktur jejambat disebabkan kerja pembinaan di kawasan bersebelahan.

Deebankumar Selvaratham bercakap kepada media mengenai petugas Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berada di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Hang Tuah bagi membantu penumpang melancarkan pergerakan ke stesen Bandaraya susulan penutupan LRT Laluan Ampang antara stesen Masijid Jamek dan stesen Bandaraya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 FEBRUARI 2023.

Penumpang LRT, S. Deebankumar, 21, berkata, kehadiran Troopers pada situasi seperti itu amat membantu perjalanannya di kala waktu kemuncak dan turut memuji perkhidmatan yang diberikan.

“Saya selalu naik LRT kerana ia merupakan pengangkutan utama untuk pergi ke Kuala Lumpur dan bila keadaan ini berlaku Troppers dan polis bantuan memang banyak membantu, mereka friendly.

“Mereka bantu sangat perjalanan saya terutama waktu pagi dan petang macam ini, bila tanya mereka beri jawapan yang tepat dan membantu saya. Services mereka memang terbaik,” jelasnya.

Pengguna, Mazni Misman bercakap ketika ditemubual mengenai Petugas Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berada di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Hang Tuah bagi membantu penumpang melancarkan pergerakan ke stesen Bandaraya susulan penutupan LRT Laluan Ampang antara stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 FEBRUARI 2023.

Penumpang LRT dari stesen Titiwangsa ke Bandar Tasik Selatan, Mazni Misman,50, berpandangan perkhidmatan Troopers wajar diteruskan pada masa akan datang.

Ini kerana tidak semua penumpang biasa menggunakan perkhidmatan tren itu yang pada ketika ini mengalami gangguan landasan.

“Pada awalnya saya keliru tapi kini saya lihat dah boleh memahami laluan tren malah perkhidmatan kakitangan serta polis bantuan amat membantu.

“Kalau tanya saya perlu ke teruskan Troopers, ya wajar sebab tidak semua penumpang biasa guna perkhidmatan ini. Kalau ada mereka memang amat membantu melancarkan perjalanan kami lah.

“Saya juga harap masalah landasan ini segera diatasi sebab semakin sesak terutama waktu kemuncak,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast