Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din bercakap pada sidang media di Bangunan Kumpulan Muara Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 03 FEBRUARI 2023.

SHAH ALAM – Badan Perhubungan UMNO Selangor sudah bersiap sedia untuk berunding dengan Pakatan Harapan (PH) tentang kerjasama politik mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) pada pertengahan tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin berkata, kini terpulang kepada pucuk pimpinan PH Selangor dalam menentukan rundingan itu sama ada mahu dilakukan pada kadar segera atau sebaliknya.

“Kita sudah bersedia sekarang, sebelum ini ramai dalam kalangan mereka yang sudah beri kenyataan, bermacam-macam kenyataan kita dengar, tapi kita sudah bersedia untuk duduk dan bincang atas meja.

“Terserah kepada PH untuk memikirkan bagaimana kita boleh memulakan rundingan secara semangat Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media di pejabat UMNO Selangor, di sini, hari ini.

Tambahnya, walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor tidak memenangi satu kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, namun beliau yakin parti itu masih mempunyai sokongan di kawasan luar bandar.

“Kita akui dalam pilihan raya lepas, kita tidak berjaya memenangi satu pun kerusi di peringkat Parlimen, tetapi kita masih lagi mempunyai jumlah undi yang masih banyak terutamanya dalam kawasan majoriti Melayu.

“Saya fikir ini mesti ada dalam asas rundingan untuk kita memulakan rundingan tersebut,” katanya.

Katanya, UMNO sudah mengenalpasti beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang boleh dipertahankan dan dimenangi pada PRN Selangor akan datang.

“Kerusi-kerusi ini telah kita kenal pasti untuk kita berbincang dan perhalusi.

“Saya telah memaklumkan kepada Presiden UMNO bayangan jumlah kerusi yang kita berhasrat untuk tandingi dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette