Kerja-kerja kajian dan penyelidikan dijalankan berhampiran Pusat Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong Terengganu.

ARKEOLOGI maritim merupakan kajian sistematik ke atas sebarang bentuk tinggalan budaya dan persekitaran semulajadi di bawah air iaitu untuk merekonstruksi masa lampau dengan salah satu fokus utamanya adalah kapal karam. Secara amnya, tidak wujud perbezaan ketara antara fokus kajian arkeologi darat dan bawah air kecuali perbezaan daripada segi penggunaan peralatan dan persekitaran. Sehingga kini, Malaysia juga telah mengambil langkah untuk melindungi, memelihara dan mengurus bangkai kapal bersejarah dalam perairan wilayah negara.

Namun, tanpa rejim undang-undang yang komprehensif di perairan antarabangsa, peninggalan sejarah tersebut tidak dapat dilindungi. Malaysia telah meratifikasikan Akta Warisan Kebangsaan 2005 bagi melindungi warisan kebudayaan di bawah air. Setiap jumpaan ditempatkan di muzium dan institut pengajian tinggi yang terpilih.

Sebagai contoh, Pada 16 Ogos 1606, telah berlaku satu pertempuran iaitu pertempuran Cape Rachado atau yang kini dikenali sebagai Tanjung Tuan. Pertempuran antara pihak Portugis dan Belanda menyebabkan kapal Nassau karam di perairan Port Dickson. Kapal Nassau
dibina pada tahun 1602 dan merupakan milik Syarikat Hindia Timur Belanda.

Antara objek bersejarah yang dijumpai dari kapal Nassau ialah 15 buah meriam, peluru batu meriam, senapang besi dan gangsa, dua sauh besi, peluru plumbum, seramik dari Eropah Utara, tong kayu dari tulang haiwan, wang syiling, tembikar-tembikar dagangan buatan China serta antara menarik ialah botol kaca minuman yang tertulis perkataan ‘Van Hovoken and Co Rotterdam’. Objek bersejarah ini telah ditempatkan dan dipamerkan di Muzium Lukut di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Seterusnya, jumpaan dari kapal karam di perairan Bidong atau lebih dikenali sebagai The Bidong Wreck pula di tempatkan di Universiti Malaysia Terengganu. Rangka kapal tersebut telah karam di perairan Pulau Bidong yang berkoordinat U 5°37.546´T 103°2.514´. Ia masih lagi dalam kajian pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama dari Jabatan Warisan Negara (JWN).

Isu dan cabaran yang perlu dihadapi dalam bidang arkeologi maritim ini adalah penggalian saintifik yang meluas memakan masa dan kos yang tinggi. Akibatnya, usaha arkeologi penyelamat biasanya terhad kepada pemulihan harta karun, selebihnya diabaikan atau dimusnahkan.

Di peringkat antarabangsa, telah banyak pembaharuan yang dilakukan dalam bidang arkeologi maritim. Arus permodenan teknologi akhirnya telah menyediakan alat untuk membuka kunci sempadan bidang arkeologi maritim. Alat berteknologi baharu telah terbukti membantu pakar arkeologi maritim untuk meneroka bahan tinggalan di laut dalam.

Dari segi teknologi, perundangan dan tenaga pakar yang jika dilihat di Malaysia, masih lagi diperingkat sederhana atau dalam proses pembelajaran. Antara cadangan yang boleh dilaksanakan adalah menghantar tenaga pakar tempatan untuk mendalami ilmu arkeologi maritim bersama tenaga pakar professional dari negara luar serta memperbaharui jaringan diplomatik dalam menerapkan teknologi baru ke dalam kajian arkeologi maritim di Malaysia.

Selain itu, Malaysia juga mesti mengambil langkah untuk menjadi negara anggota dalam pelbagai konvensyen antarabangsa yang berkaitan dengan pemeliharaan warisan maritim bagi menambahbaik perundangan yang sedia ada.

Oleh: Dr. Nik Nurhalida Nik Hariry
Pensyarah d
Fakulti Pengajian Maritim
Universiti Malaysia Terengganu