CHUKAI – Sepasang suami isteri maut manakala tiga anak mereka cedera ringan selepas kenderaan serbaguna (MPV) yang dinaiki terbabas di Kilometer (KM) 274, berhampiran susur keluar Plaza Tol Cheneh di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu Arbain Baharudin, 47, dan isterinya Rosmawati Bakar @ Lalar, 48, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan.
Sementara tiga anak mereka, Farah Najwa, 20, Fatin Najla, 10, dan Faikal Nabila, 8, hanya cedera di muka, kaki dan tangan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata kejadian dipercayai berlaku apabila Toyota Estima yang dinaiki mereka dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar penghadang jalan.
Beliau berkata, kenderaan tersebut turut berpusing beberapa kali ke arah kanan jalan sebelum terhenti dan tersangkut di pembahagi lebuh raya.
Menurut Hanyan, impak pelanggaran tersebut menyebabkan pasangan suami isteri itu tercampak antara lima hingga 10 meter dari kenderaan ke luar jalan.
Katanya, lima sekeluarga itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Kerteh, selepas menghantar seorang lagi anak lelaki mereka di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan, Pahang.
“Ketiga-tiga anak mangsa telah dibawa ke unit kecemasan Hospital Kemaman untuk rawatan manakala mayat kedua-dua mangsa dibawa ke unit forensik hospital sama untuk bedah siasat.
“Proses bedah siasat dijangka selesai selepas Isyak malam ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BERNAMA