perkhemahan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa Perdana Menteri memberikan jaminan bahawa peruntukan pembangunan diberikan kepada semua Ahli-Ahli Parlimen seluruh negara merentasi parti sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN memandang serius kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengesahkan peruntukan pembangunan kepada ahli-ahli Parlimen akan dikurangkan pada tahun ini sebanyak 65 peratus berbanding tahun sebelumnya.

”Meskipun Kerajaan Persekutuan dikatakan mengambil langkah mengawal kewangan selaras dengan kedudukan dan kekangan ekonomi negara, namun peruntukan pembangunan yang disalurkan melalui ahli Parlimen yang memberikan manfaat dan faedah terus kepada rakyat tidak sepatutnya diganggu meskipun dikurangkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar bahawa peruntukan pembangunan yang diagihkan kepada ahli Parlimen akan dikurangkan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Bagaimanapun, kerajaan akan mempertimbangkan penambahan dana jika terdapat keperluan mendesak di kawasan tertentu.

Jelas Takiyuddin, sebelum ini peruntukan tersebut pula disalurkan terus kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen melalui Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Beliau mengingatkan bahawa jaminan ini amatlah penting diberikan kerana ia juga selaras dengan Tawaran Harapan yang dibuat oleh Pakatan Harapan semasa PRU15, iaitu peruntukan kawasan sama rata.

Pemimpin Pas itu juga berharap Anwar mengutamakan rakyat dan mengurangkan unsur-unsur seumpama deraan dan balas dendam kepada pihak pembangkang yang telah menerima mandat yang sah dari rakyat melalui saluran demokrasi pilihan raya dan memenuhi lunas-lunas undang-undang. – MalaysiaGazette