KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) perlu mewujudkan sistem data raya untuk mendapatkan maklumat dalam masa sebenar tentang situasi bekalan sayur-sayuran di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, maklumat yang diperlukan adalah jenis sayuran yang sedang ditanam, jumlah pengeluaran, lokasi pengeluaran, jumlah import dan eksport, jumlah permintaan dan kos pengeluaran.
Menurut beliau, melalui sistem tersebut, MAFS akan dapat membuat unjuran dan persiapan awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Saya bukanlah mahir dalam bidang teknologi maklumat (IT) tetapi jika saya boleh melihat dashboard sistem itu melalui telefon pintar sahaja, bila-bila masa kita boleh membuat persiapan awal.
“Misalnya jika kita dah boleh unjur tiga bulan lagi bekalan timun akan berkurangan, maka kita dah boleh minta agensi untuk giatkan tanaman sayuran jenis itu mulai minggu ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Mohamad mengulas mengenai masalah kekurangan bekalan sayur-sayuran seperti kacang panjang, bendi dan terung di pasaran tempatan ketika ini.
Beliau juga yakin ramai anak muda yang mampu menghasilkan sistem berkenaan dan MAFS tiada halangan menyalurkan dana bagi tujuan tersebut.
Berhubung isu kekurangan bekalan sayur-sayuran, Mohamad berkata, beliau telah mengarahkan pegawainya dan agensi-agensi terlibat seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mengambil langkah intervensi segera untuk menambah dan mencukupkan bekalan. – MalaysiaGazette