Foto yang dikongsi oleh Sam MY yang didakwa berelemen fitnah.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tampil memberi penjelasan mengenai foto lama Perdana Menteri menjamu selera dalam hidangan besar besar yang mengundang fitnah di media sosial.

Beliau yang turut berada dalam majlis tersebut berkata, foto berkenaan dirakam di rumah seorang kerabat yang rapat pemerintah Qatar pada tahun 2019.

Mereka termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dijemput oleh tuan rumah untuk singgah sebelum rombongan itu ke Airport Doha untuk pulang ke Malaysia.

“Sebagai tetamu, Anwar dan rombongannya pun terperanjat dengan hidangan yang hebat seperti dalam gambar itu. Kami memahami itu mungkin budaya Arab.

“Kami makan bersila dalam pinggan yang kecil di hadapan dulang besar dengan nasi Arab berlauk kambing bukannya unta.

“Ini di rumah Sheikh Qatar bukan di Malaysia. Anwar Ibrahim ke Doha Qatar ketika itu kerana beberapa jemputan,” jelas Hassan.

Turut serta dalam rombongan itu adalah Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani, Mohd Amin Ahmad (Kangar), Dr. Azman Ismail (Kuala Kedah) dan bekas Ahli Parlimen Kemaman, Allahyarham Abdul Rahman Yusof.

Menurut Hassan, pada waktu itu Anwar baru menang pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Ia adalah kunjungan pertama Anwar ke negara tersebut bagi memenuhi jemputan Perdana Menteri Qatar.

Anwar juga dijemput ke persidangan antarabangsa bagi memperingati tokoh renaissance Islam terkenal, Malek ben Malek di universiti ternama Doha.

Dalam lawatan itu, Anwar dan rombongan turut menziarahi tokoh ulama Islam terkenal iaitu Sheikh Dr Yusof Al- Qardawi.

“Anwar dan rombongannya bukan ke Doha, Qatar untuk makan nasi Arab dalam dulang besar itu. Saya ceritakan ini semua untuk menegakkan fakta dan kebenaran untuk melindungi nama baik Perdana Menteri daripada difitnah sesuka hati.

“Kebenaran pada saya adalah dinding kepada fitnah. Sudah lama saya tidak mempertahankan saudara Anwar  sejak beliau menjadi Perdana Menteri. Saya lebih banyak menegur dan mengkritik Anwar  dan kerajaannya. Tetapi hari ini, saya tidak boleh berdiam diri,” katanya.

Hassan berkata, fitnah terhadap diri Perdana Menteri tidak boleh dibiarkan tanpa dicabar dan dipatahkan.

Bagaimanapun beliau berharap kerajaan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah berkenaan selaras konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Anwar.

“Namun saya berharap menteri kerajaan janganlah sampai buat aduan polis terhadap si fulan bin fulan yang membuat hantarkan di Facebook berkenaan gambar ini.

“Jangan gunakan polis untuk tutup mulut si pemfitnah. Kita lawan fitnah dengan fakta dan penjelasan yang rasional. Itu lebih bersifat madani,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Hari ini, Menteri Komunikasi dan Digital meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pihak polis untuk menyiasat satu hantaran yang dibuat oleh pemilik akaun Facebook, Sam MY.

Menurut Fahmi Fadzil, perkongsian oleh Sam MY mempunyai niat buruk selepas berkongsi foto Perdana Menteri bersama beberapa yang lain dihidang talam besar makanan dan dikaitkan dengan menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Fahmi mohon SKMM, polis siasat hantaran fitnah Sam MY di FB

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast