JOHOR BAHRU – Mana-mana individu yang didapati dengan sengaja membuang sampah di tempat awam khususnya sekitar Johor bakal berdepan denda maksimum RM500 jika disabit kesalahan buat kali pertama.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberitahu, kerajaan negeri akan memperhebatkan lagi penguatkuasaan berkenaan bagi menjamin kebersihan di negeri itu.
“Syukur alhamdulillah, saya dan Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan pasukan telah pun turun padang lagi minggu ini untuk program “Johor Bersih”.
“Dalam usaha kerajaan negeri ingin menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030, kita sama sekali tidak boleh mengabaikan aspek kebersihan.
“Saya telah berbincang dengan Datuk Jafni dan Datuk Bandar Majlis Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman tentang cara memperhebatkan lagi penguatkuasaan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
“Mengikut akta ini, mana-mana pihak yang didapati sengaja membuang sampah di tempat awam boleh didenda maksimum RM500 jika disabit buat kali pertama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Onn, juga Agenda Johor Bersih sebenarnya telah dilancarkan sejak tahun lepas lagi.
“Apa yang boleh dikatakan cabaran sebenar ialah untuk menukar minda dan sikap segenap lapisan Bangsa Johor tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar.
“Atas sebab itu juga saya memohon pihak media untuk memperhebatkan lagi penyampaian mesej ini kepada orang awam.
“Insya-Allah dengan kerjasama semua pihak, saya dan Kerajaan Negeri optimis kita boleh menjadikan Johor lebih bersih dan baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette