UMNO Johor compete solo PAS state election Nur Jazlan
Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Kumpulan yang bersimpati terhadap pemimpin UMNO yang dipecat dan digantung baru-baru dicabar menunjukkan mereka mendapat sokongan akar umbi melalui pertandingan jawatan naib presiden dan ketua-ketua sayap.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kumpulan itu turut berpeluang bertanding lebih 20 kerusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.

“Kamu boleh pilih mana-mana sahaja kerusi yang diidamkan. Masuk bertanding dan kalau menang kamu pun ada peluang nanti untuk menjadi salah seorang pemutus kepada apa-apa sahaja tindakan parti.

“Dengan masuk bertanding juga kamu boleh buktikan sama ada kamu sememangnya menjadi kesukaan akar umbi atau selama ini kamu hanya syok sendiri kononnya kamu adalah pembawa suara akar umbi.

“Bila akar umbi sudah membuat keputusan sama ada kamu dipilih atau tidak, jangan persoalkan lagi. Baik tutup mulut saja. Saya rasa cara itu lebih afdal untuk menunjukkan kamu sebenar-benarnya orang parti atau pun kamu orang pentingkan diri sendiri,” kata Nur Jazlan.

Ketua UMNO Bahagian Pulai itu berkata, kumpulan terbabit tidak perlul menjadi penyibuk dan pembela kepada mereka dengan menuding kesalahan kepada MKT dan Presiden UMNO.

Menurut Nur Jazlan, tidak salah untuk melahirkan rasa simpati tetapi tidak seharusnya sehingga menghentam UMNO seolah-olah parti telah membuat kesalahan.

“Jangan ikut rentak musuh-musuh UMNO ataupun orang yang sudah terbuang dari UMNO yang menangguk di air keruh menyerang parti.

“Mereka itu tak ada kaitan lagi dengan UMNO dan suara-suara sumbang mereka tak membantu UMNO pun malah akan menjahanamkan parti kamu sendiri,” kata Nur Jazlan.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, dalam mesyuarat UMNO Johor di bawah kepimpinan baharu, Datuk Seri Mohamd Khaled Nordir semalam terdapat berapa ketua bahagian yang menolak pengantungan keahlian Datuk Seri Hishammuddin  Hussein.

Bagaimanapun hujah pemimpin terbabit tidak diterima oleh ketua-ketua bahagian yang lain.

“Apa yang lucu rupanya masih ada dua tiga orang ketua bahagian cuba membela penolakan penggantungan Hishamuddin selama enam tahun.

“Tapi kasihan tak dapat sambutan sebahagian besar AJK Perhubungan kerana mereka tahu permainan baling batu sembunyi tangan oleh Hishamuddin.

“Buang masa mesyuarat Perhubungan membela cucu dan anak kepada bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang kesudahannya menjadi ‘arwah’ di luar UMNO,” kata Nur Jazlan.

Beliau bagaimanapun menasihatkan pemimpin yang dipecat dan digantung untuk membuat rayuan kepada Lembaga Disipin UMNO.

Ini kerana masih terdapat ruang untuk mereka membela atau membersihkan diri sekiranya pertuduhan serta hukuman ke atas mereka dilakukan secara tidak wajar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast