Foto yang dikongsi Syed Saddiq di Twitter

KUALA LUMPUR – Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan kehadirannya dalam perayaan agama lain tidak mengurangkan keimanannya terhadap agama Islam.

Sebaliknya Ahli Parlimen Muar itu berkata, menghadiri perayaan budaya dan agama lain mengajarnya untuk lebih memahami dan belas kasihan terhadap mereka yang datang dari latar belakang berbeza.

“Selama bertahun-tahun, saya telah menghadiri pelbagai perayaan seperti Hantu Lapar, Thaipusam, Pongal dan saya boleh memastikan ia tidak menjadikan saya lebih rendah daripada orang Islam yang lain.

“Saya berada di sana bukan untuk meraikan tuhan orang lain tetapi untuk meraikan kepelbagaian rakyat Malaysia yang baik. Setiap agama mengajar penganutnya supaya saling menghormati antara satu sama lain,” kata Syed Saddiq di Twitter.

Menurutnya, MUDA terlibat secara langsung dengan festival Thaipusam dengan membuka gerai Thaneer Panthal di Jalan Ipoh di ibu kota.

Anggota parti itu turut mengagihkan makanan dan minuman kepada penganut Hindu yang terlibat dalam perarakan sempena perayaan tersebut.

“Malaysia adalah sebuah negara yang diberkati dan terkenal di peringkat global dengan kepelbagaiannya dan itulah yang menjadikan Malaysia unik.

“Saya bertuah kerana tinggal di negara ini dan mendapat peluang untuk berinteraksi dengan budaya lain.

“Menghadiri perayaan budaya dan agama yang lain mengajar saya untuk lebih memahami, dan belas kasihan kepada mereka yang datang dari latar belakang yang berbeza daripada saya,” kata Syed Saddiq.

Sebagai Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq bersumpah untuk memberikan kesetiaan kepada Malaysia dan untuk melindungi kawasan Parlimennya.

Syed Saddiq menegaskan beliau telah dipilih oleh orang baik  di Muar untuk berkhidmat kepada mereka tanpa mengira latar belakang kaum dan fahaman politik mereka.

Beliau percaya melalui perpaduan datang kemakmuran. Perpaduan adalah kekuatan yang harus Malaysia perkasakan dan sekarang bukan masa untuk memburukkannya.

Sebelum ini media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar menasihati umat Islam untuk tidak terlibat atau mengambil bahagian dalam sambutan Hari Thaipusam hari ini.

Beliau menjelaskan, ini kerana Thaipusam merupakan acara peribadatan agama yang khusus kepada para penganutnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Umat Islam dinasihat tak terlibat acara Thaipusam – Menteri Agama