Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Sikap membisu Majlis Peguam dan badan bukan kerajaan, BERSIH terhadap tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anak sendiri sebagai penasihat menimbulkan tanda tanya.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa, sekiranya perkara itu dilakukan oleh pemimpin UMNO, kedua-dua entiti itu akan segera mengeluarkan bantahan.

“Cuma saya hairan bila NGO BERSIH, Bar Council dan cerdik pandai Lembah Klang hanya berdiam diri bila Anwar lantik anak dia jadi Penasihat Khas.

“Dulu kalau UMNO yang buat mesti mereka bising dan melalak tuduh orang UMNO salah guna kedudukan atau pengaruh. Tapi bila geng sendiri buat, boleh pula mereka halalkan,” sindir Nur Jazlan.

Ketua UMNO Bahagian Pulai itu bagaimanapun berkata, sikap yang ditonjolkan oleh Majlis Peguam dan BERSIH adalah realiti sebenar politik di negara ini.

Pihak berkenaan menjadi hipokrit demi kuasa dan kedudukan.

“Cuma yang kasihannya, apa-apa benda buruk yang jadi dalam negara…semuanya salah UMNO,” kata Nur Jazlan kesal.

Beliau berkata demikian dalam menjawab soalan yang dilontarkan kepadanya berhubung tindakan Anwar melantik anak sulung beliau, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Menteri Kewangan.

Korupsi, kronisme dan nepotisme (KKN)  adalah isu hangat yang dilaung-laungkan pada 1998 itu tahun perselisihan antara perdana menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Anwar yang menjadi timbalannya.

“Saya pun jawab dalam nada bergurau, ingat-ingat lupalah. Almaklumlah sudah lebih 20 tahun benda itu berlaku walaupun saya sendiri sebagai Exco Pemuda kepada Zahid sebagai Ketua Pemuda UMNO ketika itu ada atas pentas Perhimpunan Agung Pemuda UMNO tahun 1998 dulu.

“Cuma yang saya ingat pasal kisah kapal Titanic yang dibawa oleh seorang perwakilan yang berucap ketika itu.

“Dia bercerita pasal bahayanya KKN yang boleh menyebabkan sebuah kapal besar macam UMNO boleh tenggelam kalau tak dibendung. Tapi setakat itu sahajalah yang saya ingat pun,” kata Nur Jazlan.

Bagaimanapun menurut beliau zaman sudah berubah dan pemimpin silih berganti.

Mereka yang heboh pasal KKN sudah tidak ada dalam UMNO kerana telah menjadi pemimpin besar dalam parti lain.

Manakala UMNO sudah tidak mempunyai kuasa macam dahulu dan berada dalam kerajaan hari ini kerana memikirkan kepentingan rakyat serta negara.

“Jadi sekarang ini isu KKN ini tak berlakulah dalam UMNO dan tak lagi jadi ancaman,” kata Nur Jazlan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. bezanya anwar lantik anak sendiri tanpa gaji . kalau umno lantik anak sendiri untok kaut harta kerajaan . ini dah jadi bukti . berapa bilion harta kerajaan hanyut masa umno jadi kerajaan . umno patut muhasabah diri sebelum pertikai apa orang lain buat . pada dasarnya sama tapi hakikat nya tidak sama . ada ke orang umno sanggup kerja free . laki bini sekali cari untong kumpul harta negara bawa balik rumah .

Comments are closed.