Presiden SPCAAM, J Solomon.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mahu Bank Negara dan Kementerian Kewangan bertindak “segera dan tegas” untuk memastikan Citibank menghormati hak serta kepentingan pekerjanya susulan langkah bank itu menjual Operasi Perniagaan Penggunanya sejak dua tahun lalu.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, langkah itu perlu memandangkan Citibank enggan membayar “sebarang pampasan kepada pekerja” selepas melaksanakan langkah tersebut.

“Pihak berkuasa iaitu Bank Negara dan Kementerian Kewangan mesti bertindak dengan segera dan tegas untuk merintang pelabur asing daripada membawa keluar kekayaan yang dijana di Malaysia oleh rakyat Malaysia sendiri tanpa diagihkan secara saksama serta bermaruah kepada pihak berkepentingan yang selama ini menjadi pemangkin kepada keuntungan,” kata beliau.

Dalam satu kenyataan media, Solomon berkata, selepas menjana kekayaan Malaysia sejak 63 tahun lalu daripada pelanggan-pelanggan Malaysia, Citibank memutuskan untuk menjual Operasi Perniagaan Pengguna bank itu pada tahun 2021 sebagai usaha penyegaran strategi bank.

Katanya, Citibank juga telah memindahkan hasil jualan ke luar negara sambil meninggalkan pekerja-pekerja Perniagaan Perbankan Pengguna tanpa menghiraukan atau menghormati hak para pekerja.

Menurut Solomon, pekerja-pekerja Malaysia yang telah berusaha bersungguh-sungguh hati dan jiwa untuk membolehkan Citibank berterusan menjana keuntungan selama 63 tahun lalu telah diabaikan begitu sahaja walaupun bank selama ini “menyamar” sebagai majikan yang prihatin.

“Moto Citibank, yang menyatakan, ‘Kami percaya dalam melakukan perkara yang betul’ merupakan suatu pengkhianatan terhadap pelanggan dan pekerja Malaysia,” kata beliau.

Pada April 2021, Citigroup Inc mengumumkan pihaknya berhasrat untuk keluar daripada francais penggunanya di 13 pasaran, termasuk Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jane Fraser berkata bank itu akan mengendalikan francais perbankan pengguna di Asia dan Eropah, Timur Tengah dan Afrika hanya dari Singapura, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu dan London.

“Ini menempatkan kami untuk meraih pertumbuhan yang kukuh dan pulangan yang menarik yang ditawarkan oleh perniagaan pengurusan kekayaan melalui hab penting ini.

“Walaupun 13 pasaran lain mempunyai perniagaan yang amat baik, kami tidak mempunyai skala yang diperlukan untuk bersaing,” kata beliau ketika itu.

Selain Malaysia, 12 perniagaan lain yang terjejas termasuklah francais pengguna di Australia, Bahrain, China, India, Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Poland, Rusia, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Dalam kenyataan media pada 18 April 2021, NUBE menyatakan kebimbangan susulan pengumuman oleh Citigroup Inc mengenai hasrat untuk keluar dari operasi penggunanya di Malaysia dan menjalankan operasinya dari negara lain, termasuk Singapura.

Dengan mengatakan bahawa bank itu gagal untuk menghubungi NUBE sebelum membuat pengumuman itu dan tidak menggambarkan dengan jelas mengenai masa depan pekerjanya, dia meminta Bank Negara untuk campur tangan bagi pihak pekerja.

Dalam kenyataan kali ini, Solomon seterusnya berkata, amat menyayat hati apabila pihak berkuasa Malaysia enggan mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi kekayaan dan kesejahteraan negara daripada jerih payah rakyat Malaysia yang telah dimanipulasi secara bijak oleh pelabur asing yang tidak bertanggungjawab seperti Citibank.

“Di Korea Selatan, Citibank telah mengalami kerugian berterusan.

“Walau bagaimanapun, apabila perniagaan di negara tersebut terpaksa ditutup kerana tiada pihak yang berminat mengambil alih, pekerja-pekerja bank menerima gaji pemberhentian selama tujuh tahun daripada 100% gaji dan manfaat lain,” kata beliau. – MalaysiaGazette