Gelagat seorang lelaki dalam lingkungan 20-an yang cuba menganggu anggota polis yang bertugas di persimpangan lampu isyarat dekat Bandar Seri Alam, Pasir Gudang semalam.- Gambar media sosial.

PASIR GUDANG – Gelagat seorang lelaki dalam lingkungan 20-an yang cuba menganggu anggota polis yang bertugas di persimpangan lampu isyarat dekat Bandar Seri Alam di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian mengenai perkara itu diterima pihaknya daripada orang awam pukul 7.58 pagi.

Polis juga turut mengesan satu video yang tular berdurasi 24 saat menerusi aplikasi TikTok yang dikongsikan menerusi sebuah akaun.

“Hasil penelitian kami (polis) di dalam video berkenaan ia menunjukkan kehadiran tiga anggota polis sedang memujuk seorang lelaki yang menimbulkan kacau ganggu.

“Bagaimanapun lelaki berbaju T hitam dalam video itu kelihatan enggan bekerjasama.

“Bertindak atas maklumat Ketua Balai Polis Seri Alam bersama anggota pergi ke lokasi kejadian. Lelaki berkenaan dipercayai kurang siuman.

“Usaha memujuk lelaki berkenaan berusia dalam lingkungan 20 tahun yang merupakan warganegara asing gagal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian tular itu juga lelaki berkenaan melarikan diri dan telah melanggar sebuah lori.

Mohd Sohaimi berkata, lelaki tersebut yang mengalami kecederaan dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan.

Lelaki berkenaan juga akan dirujuk ke Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HSI untuk pemeriksaan lanjut.- MalaysiaGazette