GEORGE TOWN – Selepas dua tahun diraikan dalam skala kecil berikutan pandemik Covid-19, sambutan Thaipusam di sini tahun ini telah menyaksikan lautan penganut Hindu dan pelancong asing.

Kemeriahan sambutan perayaan itu dapat dilihat apabila para pelancong asing dari pelbagai negara membanjiri Kuil Arulmigu Balathandayuthabani yang terletak di atas bukit Jalan Kebun Bunga.

Malah mereka turut kelihatan di sekitar Jalan Kulit di sini untuk menyaksikan lokasi utama penganut Hindu melakukan persediaan untuk membayar nazar dengan membawa ‘kavadi’ dan ‘pal koodam’ (belanga susu).

Pelancong asing tidak lepaskan peluang merakamkan gambar kenangan pada sambutan Thaipusam di Pulau Pinang.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kebenaran kemasukan pelancong asing selepas pandemik bukan saja memeriahkan sambutan Thaipusam malah turut merancakkan ekonomi.

Ia susulan rata-rata yang ditemui mendakwa tinggal hampir dua minggu untuk menyaksikan keunikan sambutan Thaipusam di negara ini termasuk ada yang akan ke Kuala Lumpur petang bagi tujuan yang sama.

Pelancong dari Itali, Marco, berkata, dia sepatutnya pergi ke Thailand minggu ini selepas hampir seminggu melancong di Pulau Pinang namun dia mengambil keputusan batalkan percutian tersebut untuk menyaksikan sambutan Thaipusam di negeri ini.

Marco.

“Bukan itu sahaja, saya juga pernah ke India beberapa kali tetapi kami tidak pernah lihat sambutan Thaipusam meriah sebegini dan Malaysia berjaya menyajikan sesuatu yang luar biasa buat pelancong seperti kami.

“Saya rasa amat berbaloi membatalkan percutian ke Thailand kerana sambutan ini bukan sahaja dilihat sebagai upacara keagamaan tetapi menjadi platform buat pelancong luar datang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Nita dari Medan, Indonesia pula, ia merupakan kali ketiga dia dan keluarganya menyambut Thaipusam di Pulau Pinang.

Nita.

“Ikutkan setiap tahun kami datang ke sini untuk meraikannya namun disebabkan pandemik Covid-19 dua tahun ia disambut di Medan sahaja.

“Jadi bila tahu pelancong asing dibenarkan masuk Malaysia saya bersama 17 lagi ahli keluarga ambil peluang untuk turut sama menyaksikan kemeriahan sambutan Thaipusam yang dirindu sejak bertahun-tahun,” katanya

Bagi Muhammad Jaffar, 35, pula, dia datang ke Pulau Pinang bersama isterinya sebelum dibawa  ke lokasi sambutan Thaipusam oleh agensi pelancongan.

Muhammad Jaffar.

“Pertama kali saya lihat sambutan sebegini meskipun tahu ia membabitkan upacara keagamaan tapi kami ambil peluang untuk melihat cara mereka (penganut Hindu) meraikannya.

“Kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia dapat dilihat dalam sambutan ini kerana saya lihat bukan saja orang Hindu tapi ada juga kaum lain termasuk orang Muslim hadir bagi melihat sambutan ini dan pengalaman ini sesuatu yang berharga buat saya dan isteri,” katanya.

Sementara itu, pelancong dari Perancis pula, Lucilia teruja dengan sambutan Thaipusam di negeri ini dan mula menyertainya sejak semalam.

Lucilia.

“Saya dan rakan mengambil peluang berarak bersama pedati emas serta perak selain turut memecahkan kelapa bersama orang tempatan di sepanjang jalan.

“Kami sangat gembira meskipun pelancong lupa yang tidak tahu budaya penganut Hindu namun diberi peluang untuk meraikannya bersama,” katanya.

Thaipusam adalah perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia semasa bulan penuh Tamil yang dipanggil ‘Thai’ bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan iaitu anak lelaki bongsu Dewa Shiva dan Dewi Parvati.

Sambutan di Pulau Pinang menjadi tarikan susulan hanya di negeri ini menyaksikan perarakan dua pedati iaitu emas dan perak.

Pedati emas dan perak menjadi tarikan sambutan Thaipusam di Pulau Pinang.

Perarakan pedati perak berusia 136 tahun dan pedati emas itu membabitkan perjalanan sejauh sembilan kilometer. Ia turut mengambil masa lebih 20 jam untuk tiba di kuil di Jalan Kebun Bunga di sini berbanding enam jam ketika pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast