Superintendan Zaiham Mohd Kahar

KUANTAN – Polis mengesahkan video kejadian dua beradik yang dipukul oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali di Pasar Bentong namun ia merupakan kejadian bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, video berkaitan kejadian tersebut pada sekitar 3 pagi pada 23 Januari lalu telah tular sejak semalam di laman sosial facebook milik ‘Aung Phyo Thu’.

“Mangsa seorang lelaki warganegara tempatan berusia 18 merupakan penuntut kolej swasta  di Kuala Lumpur telah membuat laporan polis pada hari kejadian lebih kurang pukul  4.13 petang.

“Siasatan awal pihak polis berdasarkan rakaman percakapan mangsa mendapati mangsa dan abang mangsa telah dipukul oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali di hadapan Pasar Bentong,” katanya menerusi kenyataan.

Susulan itu, katanya, polis telah menahan dua orang lelaki warganegara tempatan masing- masing berusia 21 dan 22 tahun bagi membantu siasatan pada 25 Januari lalu.

Kedua-dua suspek dalam kes itu telah  disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan sekiranya didapati bersalah hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Zaiham memohon kerjasama daripada semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes berkenaan masih dalam siasatan.

Pihaknya merakamkan ucapakan terima kasih atas kerjasama masyarakat dalam kes ini kerana telah menyalurkan maklumat sehingga suspek berjaya ditahan. – MalaysiaGazette