Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk menundakan waktu persekolahan selama setengah jam di Semenanjung dilihat kurang sesuai kerana faktor cuaca dan tidak dapat menyelesaikan isu kesesakan jalan raya.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Besar Kebangsaan Malaysia, Chuah Soo Cheng berkata, malahan keadaan mungkin menjadi lebih sesak apabila waktu masuk sekolah bertembung dengan waktu masuk pejabat.

“Walaupun penundaan waktu persekolahan selama setengah jam tidak akan menjejaskan para cikgu, tetapi ia akan menjejaskan ibu bapa yang mana tempat kerja mereka berjauhan dengan sekolah.

“Disebabkan tempat yang jauh, mereka akan tetap menghantar anak lebih awal ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian  kepada China Press ketika diminta mengulas cadangan untuk menundakan waktu persekolahan di Semenanjung selama setengah jam.

Sementara itu, pakar pendidikan, Suan Yoong berkata, adalah lebih elok jika kelas dimulakan lebih awal kerana cuaca Malaysia yang panas.

Katanya, keadaan yang panas adalah tidak kondusif untuk murid di sekolah yang tidak mempunyai pendingin udara.

Menurutnya, penyelarasan waktu persekolahan juga perlu mengambil kira keperluan sekolah yang mempunyai sesi petang.

“Banyak sekolah mempunyai dua sesi dan jika waktu persekolahan sesi pagi ditundakan, sesi petang juga akan terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast