Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik PKR di Ibu Pejabat PKR Tropicana, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 06 FEBRUARI 2023.

PETALING JAYA – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan pemimpin politik yang seolah-olah menggunakan agama untuk membiarkan salah guna kuasa dan rasuah.

Beliau menegaskan, mana-mana agama tidak boleh digunakan untuk mempertahankan rasuah dan salah guna kuasa apatah lagi Islam yang mengharamkan kesalahan itu.

Beliau yang juga perdana menteri berkata, semua pihak seharusnya bekerjasama untuk menentang salah laku sebegitu bagi mewujudkan urusan tata kelola dan pentadbiran yang telus.

“Tidak perlu kita tekankan perkara ini berulang kali tapi ia memang memerlukan kerjasama semua pihak. Kita perlu beri ruang kepada badan kuasa untuk lakukan tugas mereka. Kalau bersih, tidak perlu takut.

“Semua uar-uarkan mereka bersih dan mahu wujudkan kerajaan bersih.

“Patutnya kita sokong, berikan kuasa kepada badan penguatkuasaan untuk jalankan tugas mereka,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat PKR di ibu pejabat parti itu di sini hari ini. – MalaysiaGazette