SUBANG – Kerajaan meluluskan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) yang bakal menyaksikan transformasi strategik Lapangan Terbang Subang atau dikenali secara rasmi sebagai Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Airport (LTSAAS) menjadi sebuah hab aeroangkasa dan penerbangan bisnes pilihan di rantau Asia-Pasifik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, menerusi SARP LTSAAS bakal berubah menjadi sebuah hab penerbangan serantau dengan kapasiti maksimum seramai lapan juta penumpang setahun.
Beliau menjelaskan, pertumbuhan dan perubahan wajah LTSAAS akan menjana ribuan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia.
“Pada 2 Februari lalu, saya telah membentangkan SARP kepada Jemaah Menteri dan cadangan pembangunan tersebut telah mendapat kelulusan selepas mengambil kira pertimbangan yang teliti.
“Anggaran kos pembangunan semula akan diumumkan selepas pelan terperinci tersebut disiapkan dan dibentang selewat-lewatnya Mac depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di LTSAAS di sini hari ini.
SARP yang disediakan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (Malaysia Airports) berasaskan hala tuju dasar yang ditentukan oleh kerajaan.
Sebelum ini, media melaporkan MAHB menjangkakan pelan pembangunan lima tahun Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang melibatkan nilai pelaburan RM1.3 bilion.
Mengulas lanjut, Anthony menambah, SARP akan memberi rangsangan kepada rantaian industri pengangkutan udara dan industri aeroangkasa selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju aeroangkasa di rantau Asia Tenggara menjelang tahun 2030.
Jelas beliau, bagi langkah seterusnya, MAHB akan merangka seluruh pelan pembangunan semula LTSAAS secara terperinci setelah mengambil kira pandangan semua pihak dalan sesi-sesi libat urus dengan sikap yang terbuka dan membina.
“Pembangunan semula LTSAAS adalah usaha murni peringkat nasional yang berlandaskan gagasan Malaysia Madani.
“Dari segi ekonomi, ia akan mempercepatkan pemulihan ekonomi pasca pandemik dengan menarik pelaburan dari dalam mahupun luar negara.
“Dari aspek kemasyarakatan pula, projek ini cukup bermakna dengan memberi nafas baru kepada sebuah lapangan terbang di mana ramai warga Malaysia berkongsi ingatan dan pengalaman yang manis.
“Akhirnya, adalah mustahak agar diterapkan reka bentuk mesra alam dan infrastruktur hijau ke dalam projek pembangunan semula tersebut demi kelestarian dan masa depan kita,” katanya. – MalaysiaGazette