Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui berlaku kesesakan di sebuah Jabatan Kecemasan di hospital kuaternari.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, kesesakan itu dikesan selepas pegawai-pegawai kementeriannya melakukan lawatan di jabatan tersebut pada minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan hospital berkenaan dan kesesakan itu dipercayai ekoran pesakit yang sepatutnya dimasukkan ke wad masih terperangkap di Jabatan Kecemasan.

“Setiap Jabatan Kecemasan mempunyai cabaran yang berbeza. Jabatan Kecemasan khusus ini berbeza dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang yang saya lawati sebelum ini.

“Kakitangan barisan hadapan di sini bergelut kerana pesakit yang sepatutnya dimasukkan ke hospital terperangkap di Jabatan Kecemasan. Kelewatan ini boleh memberi kesan domino yang buruk,” ciap beliau di Twitter hari ini.

Dr Zaliha berkata, bagi mengelakkan ia berlarutan, KKM sedang melakukan perbincangan dalaman dan arahan kepada kakitangan agar disediakan lebih banyak katil juga sudah dibuat.

Ujarnya lagi, usaha memperkasakan kepimpinan di peringkat lapangan juga perlu dilakukan dan mengakui berlaku keletihan fizikal dan mental dalam kalangan kakitangan serta pesakit.

“Banyak isu yang diwarisi dan sistemik, tetapi ada yang boleh ditangani di peringkat tempatan dengan penglibatan yang mencukupi.

“Ramai petugas barisan hadapan telah bekerja di luar tugas semasa pandemik Covid-19 dan terus berbuat demikian ketika kita menghadapi tsunami penyakit tidak berjangkit (NCD) selepas pandemik,” ujarnya.

Pada masa sama, Dr Zaliha memberi jaminan KKM akan terus berusaha mengenal pasti penyelesaian secara dalaman dan menyokong petugas barisan hadapan menerusi perbincangan berterusan dengan Kementerian Kewangan. – MalaysiaGazette