Menteri Pengangkutan, Anthony Loke membuat lawatan di sekitar kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. Foto MOHD ADZLAN, 06 FEBRUARI 2023.

SUBANG – Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) akan menyaksikan cadangan memperkenalkan semula penerbangan berjadual serantau menggunakan pesawat jet (narrow body) sehingga A320/B737 atau yang seumpamanya dan belly kargo di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Airport (LTSAAS).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sasaran pasaran adalah kumpulan penumpang bisnes ataupun kelas premium dengan memanfaatkan penuh kedudukan LTSAAS yang cukup strategik di tengah-tengah ibu negara.

Beliau berkata, penerbangan berjadual menggunakan pesawat propeller dan turboprop pula akan dikekalkan berikutan permintaan pasaran terhadap perkhidmatan tersebut di LTSAAS dijangka berterusan dan positif.

“Pembangunan LTSAAS tersebut akan memberi fokus terhadap pembangunan Aerospace Ecosystem, General Aviation/Business Aviation (GA/BA) dan city airport/secondary airport.

“Sehubungan dengan itu, ekosistem yang akan dibangunkan di LTSAAS melibatkan tujuh komponen iaitu pusat industri aeroangkasa, pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan pusat penyelidikan dan pembangunan.

“Kompone lain adalah operasi penerbangan am (GA),operasi penerbangan bisnes (BA), urban air mobility (UAM) dan operasi penerbangan komersial serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media SARP di LTSAAS di sini hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap kepada media ketika di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. Foto MOHD ADZLAN, 06 FEBRUARI 2023.

Pada 2 Februari lalu, kerajaan meluluskan SARP yang bakal menyaksikan transformasi hebat Lapangan Terbang Subang atau dikenali secara rasmi sebagai Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Airport (LTSAAS) menjadi sebuah hab aeroangkasa dan penerbangan bisnes pilihan di rantau Asia-Pasifik.

SARP yang disediakan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (Malaysia Airports) berasaskan hala tuju dasar yang ditentukan oleh kerajaan.

Sebelum ini, media melaporkan MAHB menjangkakan pelan pembangunan lima tahun Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang melibatkan nilai pelaburan RM1.3 bilion.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast